Pages

Friday, 24 January 2014

Penyediaan Minit Mesyuarat Satu Bentuk Latihan Penulisan

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian google


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini di pejabat, saya begitu sibuk menyediakan minit mesyuarat. Mesyuarat dah berlalu hampir dua minggu tetapi baru hari ini ada mood untuk buat minit. Teruk kan? Orang lain habis meeting sahaja, minit pun terus menyusul tetapi saya, kena tunggu mood dulu. Bukan apa, mesyuarat kali ini panjang lebar pula agendanya. Pelbagai jenis isu yang dibentangkan. Kena tunggu pening semasa mesyuarat hilang dahulu barulah boleh peningkan kepala untuk siapkan minit mesyuarat. Teori tak masuk akal tu. J

Rasanya semua tahu apa itu minit mesyuarat kan. Ia merupakan suatu catatan, rekod atau dokumen rasmi mengenai sesuatu perbincangan dan keputusan yang dicapai dalam perbincangan tersebut. Apapun, saya nak bercerita tentang penyediaan minit mesyuarat ni. Walaupun ianya ringkas (eh, tak ringkas mana tau.) namun saya merasakan bahawa ianya adalah salah satu bentuk latihan penulisan. Walaupun saya menyediakan minit mesyuarat dalam bahasa inggeris namun proses penyediaannya tetap sama. Harus betul dari segi tatabahasa, ejaan dan kronologinya. Laras bahasanya haruslah bersifat formal. Tambahan pula, ia dihantar kepada ketua dan rakan sekerja. Jadi, seharusnyalah kemas dan teratur.

Dalam hal-hal yang memerlukan suatu tindakan, nama orang yang dipertanggungjawabkan harus dicatatkan. Kebiasaanya ia ditulis secara tebal atau pun menggunakan warna tulisan yang berlainan. Ini bertujuan untuk menyerlahkan hal tersebut. Dalam hal ini bagi saya ia memerlukan ketelitian. Sekiranya tersalah rekod, jenuh hendak menjawab pula nanti.

Minit mesyuarat ini penting kerana ia merupakan sumber rujukan di masa hadapan. Namun begitu, penyediaan minit mesyuarat adalah berbeza antara sesebuah syarikat mahupun bahagian. Pendapat saya, minit mesyuarat untuk syarikat swasta lebih bersifat santai (macam minit mesyuarat yang saya buat la) tetapi ia lebih bersifat formal untuk syarikat awam. Lebih banyak protokol dan format yang perlu dipatuhi.

Kesimpulannya, ringkas atau tidak ia tetap memberi cabaran yang tersendiri. Saya memang kagum pada mereka yang mengambil dan membuat minit mesyuarat kerana dari pengalaman saya, penyediaan minit mesyuarat ini kadang kala memeningkan kepala. Jadi, memang tabiklah pada mereka yang suka dan tidak pernah merungut. Sekalung tahniah saya ucapkan.

Selamat Maju Jaya dan semoga dedikasi dalam meneruskan tugas anda.

Learning Is Fun T__T

Thursday, 23 January 2014

Review E-Book #1: E-Book Asas Blog Penulisan - Masayu Ahmad

Teks: Masitah Samsudin
Foto: E-Book Asas Blog dan Carian Google


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

E-Book Asas Blog Penulisan hasil nukilan Masayu Ahmad merupakan sebuah e-book yang memberi info tentang penghasilan sesebuah blog yang baik dan menarik. Mungkin ramai di antara kita yang tahu bagaimana  untuk menghasilkan sebuah blog apatah lagi dengan teknologi masa kini yang memungkinkan segalanya di hujung jari namun, saya pasti tidak ramai yang mampu untuk menghasilkan sebuah blog yang berpengaruh dan dapat menarik ramai traffik untuk berkunjung. Justeru, e-book ini mengupas tentang penghasilan blog dari mula pemilihan nama dan tajuk blog sehinggalah ia mampu berdiri teguh dan menjadi rujukan khusus untuk pembaca.

Bab demi bab disusun secara sistematik untuk memberi panduan yang terbaik buat pembaca terutamanya bagi mereka yang baru mengenali dunia blog. Bukan sahaja info tertentu, bahkan setiap bab turut diselitkan dengan tip-tip penulisan berkaitan yang sudah pasti merupakan rahsia kejayaan penulis dalam bidang penulisan.

Jika melalui blog terdahulu, saya sering menulis secara santai menggunakan bahasa pasar dan bahasa yang bercampur aduk (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris) tetapi kini saya memahami akan kepentingan menulis menggunakan gaya bahasa  yang betul. Biarpun penulisan secara santai namun harus menggunakan tatabahasa yang betul.  

Bukan itu sahaja, e-book ini turut memuatkan panduan untuk menjana idea agar kita dapat menulis setiap hari. Menulis secara konsisten amat penting untuk menarik keghairahan dan kesetiaan pembaca. Memahami dengan mendalam apa yang ingin ditulis juga membantu kita fokus dan sentiasa teruja untuk menulis sesuatu yang segar dan mengandungi idea-idea baru.

Salah satu tip yang amat saya suka ialah menulislah secara spontan yakni catat apa sahaja yang terlintas di kepala. Dari catatan tersebut, pindahkan pula ke dalam blog dan terus publish. Abaikan dahulu seandainya penulisan tersebut salah dari segi tatabahasa atau susun aturnya. Namun, apabila minda kita sudah kembali tenang, lihat kembali entri tersebut, sunting dan tambah baikkan agar ia menjadi sebuah entri yang sempurna.


Selain itu, e-book ini turut memuatkan tentang ciri-ciri blog yang berpengaruh. 10 ciri yang dimuatkan amat berguna untuk kita dan menjadi rujukan terbaik dalam menghasilkan blog yang akhirnya boleh membawa kepada penjanaan wang. Salah satunya, blog yang berpengaruh ialah blog yang mesra pembaca, tidak ada gajet atau bling-bling yang melampau sehingga melambatkan proses `loading' dan mengganggu pembaca.     

Apa yang penting ialah pemikiran untuk berjaya. Kesan peluang melalui matlamat samada matlamat jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Gunakan dan rebut setiap peluang yang muncul di depan mata mahupun di sekeliling kita. Jangan biarkan halangan minda negatif terus mempengaruhi dan merosakkan pemikiran kita sehingga kita gagal mencapai target yang telah ditetapkan.

Melalui e-book ini juga, kita disogok dengan pemikiran bahawa pembaca adalah pelanggan, pelanggan adalah wang dan wang adalah motivasi. Jadi kita harus mengekalkan kesetiaan pelanggan dengan memberi informasi bertepatan dengan kehendak pembaca dan menjadi agen penyelesai masalah mereka.

PEMBACA = PELANGGAN = WANG = MOTIVASI

Sememangnya, e-book ini banyak manfaatnya kepada saya. Justeru saya amat berterima kasih kepada Masayu Ahmad di atas perkongsian ilmu yang amat berharga ini. Kepada semua blogger di luar sana, anda perlu mendapatkan e-book ini seandainya anda mahu blog anda menjadi blog yang berpengaruh dan disukai ramai. E-book ini boleh dibeli di sini.

Selamat Maju Jaya dan Selamat Berblogger.

Learning Is Fun T__T

Thursday, 16 January 2014

Kenali Saya

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya berasal dari Parit Buntar, Perak dan menikmati zaman kanak-kanak saya dengan keindahan sawah padi dan ketenangan air di parit. Sedari kecil, saya banyak belajar tentang dunia perniagaan kerana ayah saya seorang peniaga ikan dan sayur di pasar. Bukan sekadar menolong tetapi saya juga dilatih mencari duit poket sendiri. Setiap hujung minggu, saya sendiri yang akan menjual sayur di Pekan Ahad. Walaupun malu-malu kucing tetapi jualan saya tetap laris. Bukan itu sahaja, kawan-kawan ayah saya selalu memberikan duit lebih untuk saya. Memang manis kenangan waktu itu.

Setelah remaja, saya berhijrah ke Serdang, Kedah dan meneruskan bibit-bibit kemanisan hidup di bawah pepohonan getah dan kesejukan air sungai di Lata Anisham. Lata ni wujud cuma tiada nama, saya suka-suka bagi nama sebegitu sebab saya selalu lepak di sini. Jadi lata ini dinamakan sempena nama sayalah. Kalau nak tahu masa di sekolah menengah, kawan-kawan mula memanggil saya As atau Anis. Sebab itulah wujudnya nama Anisham. Di sini saya tidak lagi berniaga walaupun ayah saya masih meneruskan jualan ikannya. Minat saya akhirnya mula beralih arah ke dunia penulisan. Sedikit demi sedikit ia bercambah dan terus menimbulkan rasa kecintaan yang mendalam.

Saya masih ingat lagi, sewaktu di tingkatan empat, saya terpaksa ke sekolah lebih awal dari waktu persekolahan. Jam baru menunjukkan pukul 6:50 pagi tetapi saya sudah pun masuk ke kelas. Ini kerana setiap hari ayah yang akan menghantar saya ke sekolah. Oleh sebab dia perlu bergegas ke pasar untuk jualannya, terpaksalah dia menghantar saya awal. Kesian kan. Setiap hari, sayalah orang pertama yang membuka pintu kelas. Setelah meletak beg, saya terus mengambil tempat di meja guru. Setiap hari itulah rutin saya, duduk di kerusi guru dan termenung sambil memegang pen dan kertas. Dan segalanya pun bermula...

Setiap hari saya akan menulis, bukan cerpen, bukan novel tetapi sajak. Saya menulis sajak cinta, penuh dengan ayat-ayat puitis yang kadangkala mampu membuatkan saya tersenyum sendiri. Saya masih ingat lagi, ada antara tajuk sajak saya ialah "Aku Adalah Aku". Memang suatu tajuk yang sinonim dengan genre sajak pada waktu itu. Idea terus datang mencurah-curah dan saya tidak pernah berhenti, menulis dan terus menulis. Yang peliknya, setiap sajak yang dihasilkan ditulis atas sekeping kertas. Tidak ada sebuah buku khas untuk sajak-sajak saya. Dan kertas itu akan saya lipat kecil-kecil dan dimasukkan ke dalam beg duit saya. Maksudnya, ia akan mengekori ke mana sahaja saya pergi.

Sewaktu di tingkatan empat, saya mengambil subjek Kesusasteraan Melayu. Karya agung epik dan sastera sejarah, puisi dan cerpen menjadi bahan kajian saya. Mengkaji, menganalisis dan membuat sinopsis buku-buku sastera bagaikan suatu latihan penulisan yang terbaik buat saya pada waktu itu. Mungkin juga ini antara penyebab saya cenderung ke bidang penulisan.

Minat menulis tidak hanya berhenti di situ. Semasa di tingkatan enam, saya memegang jawatan Ketua Biro Penerbitan untuk sekolah saya. Setiap bulan, saya bertanggungjawab untuk mengeluarkan jurnal bacaan. Bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu, bagai bulan jatuh ke riba, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, bagai si kudung mendapat cincin dan entah bagaimana lagi ingin saya gambarkan kegembiraan saya pada waktu itu. Bayangkan saya mempunyai kuasa mutlak memilih bahan, merencana dan menterjemahkannya menjadi jurnal. Memang sesuatu yang amat saya suka!

Walaupun hanya 10 mukasurat, ia sudah cukup memberi kepuasan yang maksima buat diri saya. Walaupun ia adalah jurnal ilmu yang menuntut saya untuk memuatkan bahan-bahan ilmiah namun saya tetap bijak menyelit sesuatu yang santai dan menghiburkan. Bukan sahaja sajak dan cerpen, malah saya turut memuatkan ruangan kartun dan menyampaikan nota-nota subjek tertentu melalui teka silang kata. Menarik bukan? Dan sudah pasti setiap jurnal akan diedit oleh guru penasihat perpustakaan iaitu Cikgu Abu Bakar. Oh lupa nak beritahu, sebenarnya Biro Penerbitan ini di bawah Perpustakaan sekolah dan saya adalah seorang Pustakawan. Simbolik kan, menulis dan dikelilingi oleh buku-buku. Bagaikan irama dan lagu, bagaikan sudah termaktub perjalanan hidupku sebegitu.

Sehinggalah pada suatu hari.......

BERSAMBUNG

Learning Is Fun T__T



Wednesday, 15 January 2014

Salam Perkenalan

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
 

Saya berasal dari Parit Buntar Perak dan kini menetap di Kulim Kedah. Saya merupakan graduan dalam bidang Kesusasteraan dan Komunikasi Massa. Sememangnya saya amat cenderung dalam bidang penulisan malah ketika di universiti, saya juga perlu menyediakan teks untuk kursus Penulisan Dan pelaporan Sains. Dan sekarang, minat dalam bidang penulisan sentiasa ada cuma bidang pekerjaan kini tidak menemukan saya dengan minat yang satu itu. Pada saya, peluang itu ada cuma apabila saya memilih untuk menetap di Pulau Pinang selepas tamat pengajian, peluang agak terhad buat saya.

Pada waktu lapang saya suka membaca, melancong, memasak, menonton wayang, menghias rumah dan beriadah seperti berenang dan berjoging. Tuntutan tugas dan aktiviti-aktiviti yang saya lakukan di masa lapang menyebabkan masa saya sentiasa terisi sehinggakan saya terlupa akan minat menulis yang pernah bertakhta di hati saya suatu ketika dahulu.

Namun hari demi hari, hati saya semakin dekat dengan bidang penulisan pabila saya sering mengikuti pesta buku dan berjumpa dengan novelis-novelis kesayangan saya. Setiap tahun saya tidak pernah terlepas daripada menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang saban tahun diadakan pada bulan April di Putra World Trade Center (PWTC) Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja, sekiranya ada kelapangan saya juga sering mengikuti aktiviti berkaitan buku.

Minat membaca juga membawa kepada kewujudan D’ Rauna Gallery iaitu sebuah mini perpustakaan di rumah saya. D’ Rauna Gallery menawarkan aktiviti sewa buku dan majalah secara kecil-kecilan untuk rakan-rakan terdekat dan masyarakat setempat. Menariknya, saya kembali menulis dan menghasilkan blog untuk berkongsi dan memberi info tentang D’ Rauna Gallery.

Terkini, sama seperti yang lain, saya sering menulis di Facebook dan berkongsi aktiviti-aktiviti yang saya lakukan terutama apabila saya pergi melancong ke tempat-tempat yang menarik di dalam dan luar negara. Tidak hanya berkongsi gambar-gambar menarik tetapi saya juga suka mencoret serba sedikit tentang tempat-tempat yang saya lawati itu. Ekoran itu, kawan-kawan rapat sering mencadangkan agar saya menulis tentang travelog pengalaman di blog saya itu.

Saya memang pernah terfikir tentang perkara tersebut tetapi disebabkan saya hanya ingin fokus tantang buku di blog sedia ada, jadi cadangan itu akhirnya terbiar sepi. Lagipun, saya sering ketandusan idea dan hanya menulis di blog sekali-sekala sahaja. Saya juga pernah mencuba menulis novel tetapi sehingga sekarang, novel itu juga terbiar sepi tidak bernokhtah.

Akhirnya, saya tergerak hati untuk mengikuti kursus Penulisan Kreatif demi merealisasikan impian saya untuk bergelar penulis. Dan dari situ juga lahirlah blog terbaru saya iaitu `Daripada Pembaca Menjadi Penulis’. Blog ini akan menjadi medan untuk saya menulis, berkongsi bukan sahaja tentang travelog pengalaman bahkan tentang novel-novel kesayangan saya. Saya berharap dan berdoa semoga saya diberi kekuatan dan kelapangan agar saya dapat menulis dan terus menulis sehingga berjaya menggapai impian nan satu.

Salam perkenalan dan semoga blog ini memberi manfaat buat semua.

Learning Is Fun T__T