Pages

Thursday, 5 August 2021

Review Novel | Seorang Tua Di Kaki Gunung oleh Azizi Haji Abdullah

Teks: As Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Tajuk: Seorang Tua Di Kaki Gunung
Penulis: Azizi Haji Abdullah
Penerbit: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Tahun Terbitan: 1982
Jumlah Mukasurat: 204


Novel Seorang Tua Di Kaki Gunung telah mendapat tempat kedua dalam sayembara Hadiah Novel GAPENA - Yayasan Sabah II (1981)

Novel ini pertama kali diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1982. Buku yang ada dalam koleksi As adalah cetakan kelima tahun 2018. 

As dah baca novel ni dulu semasa di sekolah menengah. Pinjam kat perpustakaan sahaja. Tapi biasa la, dah lama kan jadi sudah lupa kisahnya. Kali ini As beli untuk dijadikan koleksi.

Kekuatan utama novel ini terserlah pada aspek perwatakan dan latarnya. Pengarang telah memperlihatkan usaha yang sungguh-sungguh dalam melukiskan gambaran alam hutan rimba untuk menimbulkan perhubungan erat dan selari antara Tukya dengan kehidupan tradisi yang dianggap murni. 

Novel ini memaparkan persoalan jurang generasi antara golongan tua dan muda. Golongan tua digambarkan sangat konservatif dan tidak dapat menerima perubahan manakala golongan muda pula dilihat lantang melontarkan pandangan tanpa memikirkan hati dan perasaan golongan tua.

Melalui watak Tukya, pengarang cuba memperlihatkan sikap golongan tua yang tetap keras dalam usahanya mempertahankan pendiriannya terhadap corak kehidupan tradisi yang amat rapat dengan alam semula jadi di kaki Gunung Bongsu. Dia juga seorang yang sangat mementingkan air muka dan mahu kelihatan hebat bukan sahaja di mata anak menantu dan cucu-cucunya malah juga orang-orang kampung.

Dia amat kecewa apabila anak tunggalnya, Fikri seolah-olah telah lupa asal usul apabila telah berjaya dalam hidup dan tinggal di bandar besar. Menantunya, Fatimah dan cucu sulungnya, Farid juga sering menyindir dan menyakitkan hatinya.  

Hati sedihnya sedikit terubat apabila cucunya, Lamin memperlihatkan minat terhadap kehidupannya di kaki Gunung Bongsu dan hutan belantara. Dia bertekad untuk mengajar Lamin tentang selok-belok dan ilmu hutan rimba. Baginya Lamin adalah pengganti anaknya Fikri yang sudah terpengaruh dengan kehidupan di bandar.

Pelbagai ilmu hutan rimba Tukya turunkan kepada Lamin. Sehinggalah pada suatu hari, Tukya disengat lebah ketika cuba mengambil madu lebah. Rentetan daripada peristiwa itu Fikri dan Fatimah telah mengeluarkan kata-kata yang melukakan hati tuanya.

"Ayah sendiri pun dah tua, dah mengah mendaki gunung." 
"Benar kata Farid tu, rumah ni dah buruk!" 
~ Fikri

Tukya sangat berkecil hati. Maruahnya terasa dipijak. Sejak hari itu, Tukya bertekad untuk membuktikan kepada mereka bahawa dia masih kuat seperti dulu dan mampu membina rumah yang teguh seperti rumah Fikri di bandar.

"Kalau rumah buruk ini menjadi alasan kau, Fikri, menjadi ejekan anak-anak kau, tak apalah, aku rela kau tak pulang pun." 
~ Tukya

Tukya sebenarnya sudah tidak kuat, seiring dengan usia tuanya tapi sebab ego dan maruah diri, dia tetap pertahankan sehingga ke akhir hayatnya. Kasihan dengan Tukya, saya dapat selami perasaannya yang kecewa. Bagi saya, Fikri sebagai anak kenalah jaga perasaan ayahnya. Kalau tak suka pun tak perlulah secara terang-terangan menyindir dan mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguris hati.

Fikir sebelum bercakap. 

Diam lebih baik.

Golongan muda kena baca novel ini. Biar tahu bagaimana untuk menghargai dan menghormati golongan tua lebih-lebih lagi ayah sendiri. Jangan sampai menyesal di kemudian hari.

Teringat ayah di kampung...

Jumpa lagi.

16 comments:

  1. Akak pernah baca buku ni. Dulu masa sekolah kena buat book report, pinjam buku ni kat pusat sumber 😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, buku ni juga pernah menjadi buku yang wajib dibaca oleh pelajar aliran sastera tingkatan lima...

      Delete
  2. Pernah baca dahulu.
    Haah sepatutnya kalau tidak suka diam sahaja. Pengajaran untuk saya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kan, kalau ayah kita tu orang kampung yang dah berusia, diam lebih baik kan.. Emosi kena jaga, yang penting ayah sentiasa hidup dengan gembira melewati usia tuanya...

      Delete
  3. Pernah baca ms sekolah rendah.. terasa ingin nk baca lg

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena baca lagi kakmim... kali ni mesti penjiwaan tu lebih mendalam...

      Delete
  4. Aduh.. Baca review AS sahaja sudha mampu membuatkan Sha sedih..
    Kalau baca novel ini, mahu banjir..
    Kasih sayang seorang ayah tiada gantinya.. sepatutnya fikri tak perlu menyakitkan hati ayah dengan kata-kata seperti itu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang sedih apatah lagi kalau kita dapat selami hati dan perasaan Tukya. Lagipun bagi As, ibu bapa zaman dulu keperitan dan kepayahan membesarkan anak-anak tu lain. Dan emosi juga lain... huhu...

      Delete
  5. Tu la.. Ingatkan novel baru, novel lama, patut macam dah pernah dengar.. Saya tak ingat dah pernah baca ke belum.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, novel lama. As memang suka karya-karya lama dan banyak kumpul buku-buku macam ni...

      Delete
  6. Macam best kak review. Saya suka cerita kekeluargaan macam ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Ain. Sama la kak as pun, suka cerita macam ni...

      Delete
  7. Teringat pula suasana di kampung. Cerita macam ni memang bagus dibaca supaya kita tak mudah lupa pada asal usul dan juga sentiasa hormat pada orang tua. Terima kasih atas reviewnya :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu. Novel yang membawa banyak pengajaran bagus dibaca. Terima kasih kembali :)

      Delete
  8. Tak silap buku ni termasuk dalam senarai 100 novel Melayu wajib baca. Samalah, pernah baca waktu sekolah dulu tapi dah berbelas tahun lagi lah dah lupa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, betul tu. Ada dalam senarai wajib baca. Kena baca balik ni, ceritanya bagi As tetap releven untuk zaman sekarang. Kisah kekeluargaan yang menyentuh hati.

      Delete