Pages

Thursday, 6 February 2014

Kisah Alya Dan Nasi Ayamnya

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi

Latihan Penulisan: Tugasan berdasarkan gambar.

"Assalamualaikum, ibu,” laung Alya sambil menapak satu per satu anak tangga rumah.

“Alya dah balik ni,” kata Alya lagi.

“Waalaikumsalam. Amboi anak ibu ni, dari jauh dah terpekik-pekik. Malulah dekat jiran-jiran. Alya dah besar tau. Jaga tingkah laku tu sikit,” bebel Puan Aini sambil menarik hidung Alya.

Alya tersengih cuma. Begitulah dia. Memang sudah menjadi kebiasaannya untuk berteriak nama ibunya sebaik sahaja pulang dari sekolah. Alya adalah anak tunggal kepada Puan Aini dan Encik Azmi. Dahulu, Alya mempunyai seorang kakak namun kakaknya diserang demam panas dan meninggal dunia sewaktu usianya dua tahun. Semenjak hari itu, Alya ditatang bagaikan minyak yang penuh. Setiap kemahuannya dituruti. Dia dimanja dan disayangi oleh seluruh ahli keluarga.

“Wah, sedapnya bau! Ibu masak apa hari ini?” tanya Alya.

Belum sempat Puan Aini menjawab Alya sudah pun meluru ke dapur. Tudung saji dibukanya dan matanya menjamah hidangan yang tersedia.

“Wow, nasi ayam!" Alya terus merasa sedikit nasi ayam itu. "Sedapnya. Ibu yang masak ke?"

“Bukan ibu yang masak. Abah yang belikan tadi. Dah, dah, pergi mandi dulu. Lepas tu solat. Nanti kita makan sama-sama.” Puan Aini menasihati anaknya. Alya ada kalanya begitu keanak-anakan walaupun umurnya sudah mencecah sebelas tahun. Kadang-kadang dia merasakan bahawa mereka suami isteri sudah terlebih memanjakan Alya namun apakan daya, Alyalah satu-satunya permata hati mereka yang tinggal. Dialah racun, dialah juga penawar.

Pon! Pon!

Bunyi hon mengejutkan lamunan Puan Aini. Dia segera bergegas menjenguk ke luar. Kelihatan Abang Posmen sedang setia menanti dengan senyuman di bibir. Puan Aini segera turun mendapatkannya. Sepucuk surat bertukar tangan. Puan Aini turut melemparkan senyuman mesra sambil mengucapkan terima kasih.

Tatkala kembali ke dapur, Puan Aini menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah Alya yang rakus menikmati keenakan Nasi Ayam Periuk Besar yang dibeli suaminya itu. Puan Aini melabuhkan duduknya di sebelah Alya. Keasyikan Alya menikmati hidangannya itu menghiburkan hatinya. Nasi Ayam Periuk Besar memang cukup terkenal dalam kalangan teman-teman sekerja suaminya. Nasinya yang enak dan wangi memang sedap waima dimakan begitu sahaja. Ditambah pula dengan kerangupan ayam goreng berempahnya, memang sedap sehingga menjilat jari. Kata orang, kalau ibu mertua lalu pun tak nampak. Puan Aini tersenyum sendiri.

“Apa yang dimenungkan tu ibu. Jomlah makan,” ajak Alya.

Puan Aini tersentak. Dia segera mencapai pinggan dan mencedok sesenduk nasi.

“Sedapnya nasi ayam ni, ibu. Esok suruh abah belikan lagi tau,” pinta Alya.

“Eh, mana boleh makan tiap-tiap hari sayang. Sekali-sekala tak apalah,” ujar Puan Aini.

“Ala, bolehlah ibu. Sedapnya nasi ini. Alya nak makan tiap-tiap hari juga,” rengek Alya lagi. Begitulah Alya, kedegilannya semakin hari semakin terserlah. Setiap kemahuannya harus dipenuhi. Jika tidak, berhari-harilah Puan Aini dan Encik Azmi akan mengadap wajah kelatnya.

“Yalah, yalah. Nanti ibu suruh abah belikan.” Puan Aini mengalah. Malas mahu bertekak di hadapan rezeki.

Begitulah rutin Alya, setiap hari selepas pulang dari sekolah, sebungkus Nasi Ayam Periuk Besar sudah menantinya. Dia tetap berselera menikmati nasi ayam lagak baru pertama kali merasanya. Saban hari tanpa jemu. Puan Aini dan Encik Azmi membiarkan sahaja telatah Alya. Apa yang penting bagi mereka adalah kegembiraan Alya. Kegembiraan Alya, kegembiraan mereka juga.

Sehinggalah pada suatu hari, seperti biasa sekembali dari sekolah Alya akan ke dapur terlebih dahulu untuk memastikan Nasi Ayam Periuk Besar setia menanti santapannya. Tapi tengah hari itu, tiada nasi ayam kegemarannya. Yang ada hanyalah kari ikan kesukaan abahnya. Alya resah. Dia terus mencari-cari nasi ayamnya itu. Habis semua periuk di dapur diperiksanya. Namun kelibat nasi ayamnya tiada kelihatan. Alya buntu.

“Ibu! Ibu!” pekik Alya.

Puan Aini yang sedang melipat kain di bilik terkocoh-kacah mendapatkan Alya di dapur. Sangkanya, ada sesuatu yang buruk berlaku pada Alya.

“Apahal ni Alya? Bising-bising ni. Malulah sikit.”

“Mana nasi ayam Alya, ibu?” jerkah Alya. Kasar.

Puan Aini mengurut dada. Tersentak dengan jerkahan anaknya itu.

“Abah sibuk hari ini, Alya. Abah tak sempat nak belikan untuk Alya. Kan ibu dah masakkan kari ikan. Alya makan ajelah. Ye sayang,” pujuk Puan Aini.

“Tak nak! Alya tak nak kari ikan. Alya nak nasi ayam juga!” Alya mula menangis. Dia menghentak-hentakkan kakinya ke lantai. Beg sekolahnya dicampakkan ke tepi. Habis bertaburan buku-buku sekolahnya.

“Alya, dengar sini sayang. Bukan abah tak nak beli tapi hari ini abah sibuk. Kawan abah ada kecemasan. Jadi abah kena gantikan tempat kawan abah itu. Sebab itulah abah tak boleh balik hantarkan nasi ayam Alya. Abah banyak kerja sayang,” pujuk Puan Aini lagi.

Alya terus mengguling-gulingkan badannya ke lantai. Tangisannya semakin menguat. Puan Aini kaget melihat reaksi Alya. Dalam masa yang sama dia merasa marah dengan sikap Alya yang kasar dan tidak menghormatinya sebagai ibu. Puan Aini mencapai telefon bimbitnya dan cuba menghubungi suaminya. Dia berkira-kira untuk meminta Encik Azmi memujuk Alya. Belum sempat bercakap apa-apa, Alya terus merampas telefon bimbit dari tangannya.

“Alya nak nasi ayam. Kenapa abah tak beli nasi ayam untuk Alya?”

Encik Azmi terkejut dengan sergahan anaknya itu. Dia beristighfar di dalam hati.

“Kenapa ni Alya? Cuba cakap elok-elok sikit dengan abah,” sela Encik Azmi.

“Alya tanya kenapa abah tak beli nasi ayam untuk Alya? Abah kan tahu, Alya nak makan nasi ayam tiap-tiap hari!”

Encik Azmi terdiam. Nada suara Alya tetap kasar dipendengarannya. Dia merasa sedih tiba-tiba. Dia merasakan bahawa dia sudah gagal mendidik Alya menjadi seorang yang lemah-lembut dan bersopan-santun. Jika dengannya pun Alya sanggup bercakap kasar, apatah lagi dengan orang lain. Encik Azmi mengeluh sesal.

“Alya, dengar dulu apa abah nak cakap ni. Alya dah besar kan. Alya tidak boleh bersikap begini. Alya sepatutnya boleh faham kenapa abah tak beli nasi ayam hari ini. Tentu ibu dah jelaskan pada Alya kan?” Encik Azmi cuba berdiplomasi.

“Tak! Alya tak nak tahu. Alya cuma nak nasi ayam sahaja.” Alya tetap dengan kedegilannya.

“Abah memang tak sayangkan Alya. Dulu, abah akan turut apa saja kehendak Alya. Abah akan beli apa sahaja yang Alya pinta. Walaupun abah sibuk, abah tetap pentingkan Alya. Tapi hari ini, abah lebih pentingkan kerja abah daripada Alya!”

Encik Azmi kaget. Bingung dengan emosi berlebih-lebihan Alya itu.

“Bukan macam tu, Alya. Abah bukan sengaja tak beli nasi ayam. Abah betul-betul sibuk. Tak boleh nak keluar. Jangan cakap macam tu Alya. Sedih abah mendengarnya. Abah sayang pada Alya. Abah benar-benar sayangkan Alya.” Encik Azmi beremosi.

“Tak, abah jahat. Abah dah tak sayangkan Alya!” Alya terus menghempaskan telefon dan berlari masuk ke biliknya.

Puan Aini yang sedari tadi diam tidak berkutik terpempam dengan sikap Alya. Tanpa sedar, air matanya mengalir laju.

******

Alya berjalan menyelusuri sebatang anak sungai di belakang rumahnya. Dia merasa damai melihat keindahan suasana dengan pohon-pohon kelapa yang melambai. Di kejauhan, dia terpandang seorang gadis seusianya sedang duduk sambil memegang sesuatu. Alya menghampiri gadis tersebut.

“Assalamualaikum, awak. Saya Alya. Awak buat apa seorang diri di sini?” tegur Alya ramah.

Gadis tersebut hanya menunduk. Diam tidak bersuara. Alya merasa serba salah. Dia terus beredar kerana disangkanya gadis tersebut tidak ingin diganggu. Tiba-tiba dia mendengar esak tangis suara seseorang. Alya lantas berpaling. Dia terkejut melihat gadis tersebut sedang menangis teresak-esak. Alya lantas mendapatkannya semula.

“Kenapa ni, awak? Awak sakit ke?”

Gadis tersebut tidak menjawab soalan Alya tetapi menyerahkan sesuatu yang berada di dalam pegangannya. Alya melihat gambar seorang lelaki yang segak berbaju kemeja.

“Ini mesti ayah dia.” Alya bermonolog sendiri.

“Ayah awak?” Alya mencari kepastian. Gadis tersebut hanya menganggukkan kepala.

“Kacaknya ayah awak. Mesti dia sayang sangat kat awak, kan?”

Gadis itu hanya merenung sayu. Air matanya kembali mengalir. Alya kaget.

 “Dia dah tak ada, dah meninggal. Semuanya salah saya. Kalaulah saya tidak memaksanya keluar beli nasi ayam, mesti ayah saya masih hidup. Pasti dia tidak akan dilanggar oleh lori. Salah saya, memang salah saya!”

Alya terpinga-pinga. Nasi ayam... dilanggar lori... meninggal dunia.... Serentak ingatannya kembali teringatkan abahnya. Alya tidak menunggu lama. Dia terus berlari balik ke rumahnya sambil berteriakkan nama abahnya.

“Abah! Abah! Alya minta maaf abah. Tolong jangan tinggalkan Alya.”

Puan Aini dan Encik Azmi yang ralit menonton televisyen di ruang tamu terkejut mendengar jeritan Alya. Mereka terus berlari ke bilik.

“Alya, Alya. Bangun nak. Alya bermimpi ni.” Encik Azmi menggoyang-goyangkan tubuh Alya.

Alya terjaga daripada tidurnya. Dia melihat sekeliling. Tatkala pandangan matanya berlaga dengan pandangan mata abahnya, dia terus memeluk erat.

“Alya minta maaf, abah. Alya banyak berdosa dengan abah. Alya janji Alya akan jadi anak yang baik dan mendengar nasihat abah. Alya sayangkan abah. Abah jangan tinggalkan Alya, ya.”

Encik Azmi membalas pelukan Alya. Fahamlah dia kini yang Alya telah bermimpikan sesuatu yang menyedarkannya atas kesalahannya itu.

“Sudahlah tu, Alya. Abah dan ibu maafkan Alya. Tapi Alya kena janji tak akan buat lagi tau.” Encik Azmi mengusap-usap kepala Alya.

“Alya janji, abah, ibu.” Alya tersenyum seraya mencium tangan abah dan ibunya.

“Sudahlah tu. Alya pergi mandi dulu. Nanti boleh makan nasi ayam sama-sama.”

“Apa, abah. Nasi ayam. Sedapnya. Alya pergi mandi dululah.” Alya terus mencapai tuala dan berlari ke bilik air. Encik Azmi dan Puan Aini berpandangan sesama sendiri dan akhirnya mereka ketawa bahagia.

TAMAT.

Learning Is Fun T__T

No comments:

Post a Comment