Pages

Saturday, 8 February 2014

Kisah Benar

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Inilah kesinambungan kisah saya...

...Sehinggalah pada suatu hari, saya dan kawan-kawan keluar membeli belah di pekan Parit Buntar. Dulu dipanggil Pekan Lama. Dari Parit Buntar balik ke rumah, saya perlu mengambil dua bas yang berlainan. Dari Parit Buntar ke Pekan Serdang menaiki bas hijau yang terlompat-lompat. Dan dari Serdang ke rumah pula, saya perlu mengambil satu lagi bas. Oleh kerana hari sudah senja, saya tidak mengambil bas biasa tetapi saya menunggu bas ekspress (bas Jadam) yang datangnya sejam sekali menuju ke Pekan Kulim. Memandangkan bas Jadam tiba lebih awal jadi saya mengambil keputusan untuk menaiki bas Jadam sahaja..

Jarak dari Pekan Serdang ke simpang masuk kampung saya cuma kurang dari 10 minit. Baru selesai bayar tambang, belum sempat nak duduk lama, dah pun sampai. Dalam terkocoh- kacah saya terus menyambar semua beg-beg plastik hasil membeli-belah dan terus turun dari bas tanpa saya sedar bahawa saya telah tertinggal barang yang amat berharga di atas kusyen bas tersebut. Cuba teka apa dia? Ya, tepat sekali. Saya telah kehilangan beg duit saya yang mengandungi berpuluh-puluh koleksi sajak hasil nukilan saya. Bayangkan bagaimana perasaan saya pada ketika itu. Terasa seluruh jiwaku pergi, terbang melayang, hancur luluh semuanya.

Dan semenjak hari itu, saya bagaikan tiada daya untuk menulis lagi. Semunya terbang hilang entah ke mana. Tiada lagi ayat-ayat puitis, tiada lagi kata-kata romantis. (eh, macam sama jer.) Saya bagaikan si buta kehilangan tongkat, teraba-raba mencari cahaya namun hingga ke akhirnya, cahaya tetap tidak menjelma. Tiada kata seindah bahasa yang dapat kulakarkan, penaku terhenti, helaian kertas tetap kosong sehingga dimamah usia.

Namun bagaikan sudah tersurat, kisahku tidak terhenti lagi. Menjejaki menara gading, aku sekali lagi terlontar ke dunia sastera. Aku tetap ghairah meneroka bukan hanya Kesusasteraan Asia bahkan Kesusasteraan Eropah, Kesusasteraan Afrika Moden, Kesusasteraan Amerika dan Nusantara. Pelbagai buku dan novel berlainan genre menjadi kajianku. Antaranya novel-novel seperti Sudara karya Arena Wati, Sumpah Tujuh Keturunan karya Gabriel Garcia Marquez, Korban Fitnah karya Chakt Kobjit, Laungan Kebebasan karya John Briley, Kalbu karya Soseki Natsume dan Robinson Crusoe karya Daniel Defoe. Semuanya bagaikan menjadi makananku.


Ironinya, walau apapun yang terhidang, aku tetap akur bila mana penaku tetap tidak mahu menari. Bukan berputus asa jauh sekali hendak menguburkan minat dalam bidang penulisan, aku cuma tidak terdaya untuk kembali memulakan rentakku. Akhirnya aku akur dan pasrah. Mungkin belum sampai waktunya. Setelah menggenggam segulung ijazah, aku banyak menghabiskan masa dengan dunia pembacaan. Aku menjadi seorang pembaca yang dahagakan ayat-ayat kreatif. Satu persatu novel hasil tulisan novelis-novelis terkenal menjadi santapan senggangku. Satu demi satu menjadi koleksi kesayanganku. Indah tersusun di rak buku putihku (dulu rak putih tapi sekarang dah macam-macam kaler).

Dan dari hobi membaca, lahirlah sebuah perpustakaan mini di teratak comelku. D' Rauna Gallery wujud bilamana dunia penulisanku bagaikan merajuk menjauh diri. Aku leka diuliti novel-novel cinta, bertemankan majalah-majalah penuh berinformasi, buku-buku motivasi dan apa sahaja yang menarik bagiku. Aku bagaikan sudah melupai dunia menulisku, jauh dari pena dan kertas. Impian untuk menjadi penulis hanya tinggal impian sahaja. Dunia pembacaan yang mengisi ruang membuatkan aku tidak punya waktu untuk menangisi impian semalam yang tidak kesampaian.

Aku tidak pernah menyesali takdirku. Dunia pembacaan membawaku mengenali secara dekat dengan novelis-novelis kesayanganku. Mengenali mereka membuatkan semangatku kembali menyala. terasa berkobar-kobar kembali. Ya, aku ingin menjadi seperti mereka! Aku ingin duduk di barisan penulis menanti kunjungan peminat-peminatku untuk mendapatkan tandatanganku dan bergambar mesra. Aku menjadi semakin bersemangat pabila impian yang satu ini mendapat reaksi yang positif daripada rakan-rakan terdekatku. Semuanya memberi galakan dan menanti karya sulungku.

Dan akhirnya, lahirlah sebuah cerita tidak bernoktah daripadaku....

BERSAMBUNG.

Learning Is Fun T__T

No comments:

Post a Comment