Thursday, 16 January 2014

Kenali Saya

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya berasal dari Parit Buntar, Perak dan menikmati zaman kanak-kanak saya dengan keindahan sawah padi dan ketenangan air di parit. Sedari kecil, saya banyak belajar tentang dunia perniagaan kerana ayah saya seorang peniaga ikan dan sayur di pasar. Bukan sekadar menolong tetapi saya juga dilatih mencari duit poket sendiri. Setiap hujung minggu, saya sendiri yang akan menjual sayur di Pekan Ahad. Walaupun malu-malu kucing tetapi jualan saya tetap laris. Bukan itu sahaja, kawan-kawan ayah saya selalu memberikan duit lebih untuk saya. Memang manis kenangan waktu itu.

Setelah remaja, saya berhijrah ke Serdang, Kedah dan meneruskan bibit-bibit kemanisan hidup di bawah pepohonan getah dan kesejukan air sungai di Lata Anisham. Lata ni wujud cuma tiada nama, saya suka-suka bagi nama sebegitu sebab saya selalu lepak di sini. Jadi lata ini dinamakan sempena nama sayalah. Kalau nak tahu masa di sekolah menengah, kawan-kawan mula memanggil saya As atau Anis. Sebab itulah wujudnya nama Anisham. Di sini saya tidak lagi berniaga walaupun ayah saya masih meneruskan jualan ikannya. Minat saya akhirnya mula beralih arah ke dunia penulisan. Sedikit demi sedikit ia bercambah dan terus menimbulkan rasa kecintaan yang mendalam.

Saya masih ingat lagi, sewaktu di tingkatan empat, saya terpaksa ke sekolah lebih awal dari waktu persekolahan. Jam baru menunjukkan pukul 6:50 pagi tetapi saya sudah pun masuk ke kelas. Ini kerana setiap hari ayah yang akan menghantar saya ke sekolah. Oleh sebab dia perlu bergegas ke pasar untuk jualannya, terpaksalah dia menghantar saya awal. Kesian kan. Setiap hari, sayalah orang pertama yang membuka pintu kelas. Setelah meletak beg, saya terus mengambil tempat di meja guru. Setiap hari itulah rutin saya, duduk di kerusi guru dan termenung sambil memegang pen dan kertas. Dan segalanya pun bermula...

Setiap hari saya akan menulis, bukan cerpen, bukan novel tetapi sajak. Saya menulis sajak cinta, penuh dengan ayat-ayat puitis yang kadangkala mampu membuatkan saya tersenyum sendiri. Saya masih ingat lagi, ada antara tajuk sajak saya ialah "Aku Adalah Aku". Memang suatu tajuk yang sinonim dengan genre sajak pada waktu itu. Idea terus datang mencurah-curah dan saya tidak pernah berhenti, menulis dan terus menulis. Yang peliknya, setiap sajak yang dihasilkan ditulis atas sekeping kertas. Tidak ada sebuah buku khas untuk sajak-sajak saya. Dan kertas itu akan saya lipat kecil-kecil dan dimasukkan ke dalam beg duit saya. Maksudnya, ia akan mengekori ke mana sahaja saya pergi.

Sewaktu di tingkatan empat, saya mengambil subjek Kesusasteraan Melayu. Karya agung epik dan sastera sejarah, puisi dan cerpen menjadi bahan kajian saya. Mengkaji, menganalisis dan membuat sinopsis buku-buku sastera bagaikan suatu latihan penulisan yang terbaik buat saya pada waktu itu. Mungkin juga ini antara penyebab saya cenderung ke bidang penulisan.

Minat menulis tidak hanya berhenti di situ. Semasa di tingkatan enam, saya memegang jawatan Ketua Biro Penerbitan untuk sekolah saya. Setiap bulan, saya bertanggungjawab untuk mengeluarkan jurnal bacaan. Bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu, bagai bulan jatuh ke riba, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, bagai si kudung mendapat cincin dan entah bagaimana lagi ingin saya gambarkan kegembiraan saya pada waktu itu. Bayangkan saya mempunyai kuasa mutlak memilih bahan, merencana dan menterjemahkannya menjadi jurnal. Memang sesuatu yang amat saya suka!

Walaupun hanya 10 mukasurat, ia sudah cukup memberi kepuasan yang maksima buat diri saya. Walaupun ia adalah jurnal ilmu yang menuntut saya untuk memuatkan bahan-bahan ilmiah namun saya tetap bijak menyelit sesuatu yang santai dan menghiburkan. Bukan sahaja sajak dan cerpen, malah saya turut memuatkan ruangan kartun dan menyampaikan nota-nota subjek tertentu melalui teka silang kata. Menarik bukan? Dan sudah pasti setiap jurnal akan diedit oleh guru penasihat perpustakaan iaitu Cikgu Abu Bakar. Oh lupa nak beritahu, sebenarnya Biro Penerbitan ini di bawah Perpustakaan sekolah dan saya adalah seorang Pustakawan. Simbolik kan, menulis dan dikelilingi oleh buku-buku. Bagaikan irama dan lagu, bagaikan sudah termaktub perjalanan hidupku sebegitu.

Sehinggalah pada suatu hari.......

BERSAMBUNG

Learning Is Fun T__T



4 comments:

  1. Good start friend..You brought me back our memories :') ~ Best Wishes all the way from New Delhi, India ~ Saras

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks Saras....good to see you here. Take care and do alway support me pls....:)

      Delete