Wednesday, 15 January 2014

Salam Perkenalan

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
 

Saya berasal dari Parit Buntar Perak dan kini menetap di Kulim Kedah. Saya merupakan graduan dalam bidang Kesusasteraan dan Komunikasi Massa. Sememangnya saya amat cenderung dalam bidang penulisan malah ketika di universiti, saya juga perlu menyediakan teks untuk kursus Penulisan Dan pelaporan Sains. Dan sekarang, minat dalam bidang penulisan sentiasa ada cuma bidang pekerjaan kini tidak menemukan saya dengan minat yang satu itu. Pada saya, peluang itu ada cuma apabila saya memilih untuk menetap di Pulau Pinang selepas tamat pengajian, peluang agak terhad buat saya.

Pada waktu lapang saya suka membaca, melancong, memasak, menonton wayang, menghias rumah dan beriadah seperti berenang dan berjoging. Tuntutan tugas dan aktiviti-aktiviti yang saya lakukan di masa lapang menyebabkan masa saya sentiasa terisi sehinggakan saya terlupa akan minat menulis yang pernah bertakhta di hati saya suatu ketika dahulu.

Namun hari demi hari, hati saya semakin dekat dengan bidang penulisan pabila saya sering mengikuti pesta buku dan berjumpa dengan novelis-novelis kesayangan saya. Setiap tahun saya tidak pernah terlepas daripada menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang saban tahun diadakan pada bulan April di Putra World Trade Center (PWTC) Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja, sekiranya ada kelapangan saya juga sering mengikuti aktiviti berkaitan buku.

Minat membaca juga membawa kepada kewujudan D’ Rauna Gallery iaitu sebuah mini perpustakaan di rumah saya. D’ Rauna Gallery menawarkan aktiviti sewa buku dan majalah secara kecil-kecilan untuk rakan-rakan terdekat dan masyarakat setempat. Menariknya, saya kembali menulis dan menghasilkan blog untuk berkongsi dan memberi info tentang D’ Rauna Gallery.

Terkini, sama seperti yang lain, saya sering menulis di Facebook dan berkongsi aktiviti-aktiviti yang saya lakukan terutama apabila saya pergi melancong ke tempat-tempat yang menarik di dalam dan luar negara. Tidak hanya berkongsi gambar-gambar menarik tetapi saya juga suka mencoret serba sedikit tentang tempat-tempat yang saya lawati itu. Ekoran itu, kawan-kawan rapat sering mencadangkan agar saya menulis tentang travelog pengalaman di blog saya itu.

Saya memang pernah terfikir tentang perkara tersebut tetapi disebabkan saya hanya ingin fokus tantang buku di blog sedia ada, jadi cadangan itu akhirnya terbiar sepi. Lagipun, saya sering ketandusan idea dan hanya menulis di blog sekali-sekala sahaja. Saya juga pernah mencuba menulis novel tetapi sehingga sekarang, novel itu juga terbiar sepi tidak bernokhtah.

Akhirnya, saya tergerak hati untuk mengikuti kursus Penulisan Kreatif demi merealisasikan impian saya untuk bergelar penulis. Dan dari situ juga lahirlah blog terbaru saya iaitu `Daripada Pembaca Menjadi Penulis’. Blog ini akan menjadi medan untuk saya menulis, berkongsi bukan sahaja tentang travelog pengalaman bahkan tentang novel-novel kesayangan saya. Saya berharap dan berdoa semoga saya diberi kekuatan dan kelapangan agar saya dapat menulis dan terus menulis sehingga berjaya menggapai impian nan satu.

Salam perkenalan dan semoga blog ini memberi manfaat buat semua.

Learning Is Fun T__T

No comments:

Post a Comment