Pages

Sunday, 25 July 2021

10 Tips Penjagaan Buku

Teks: As Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Okey, hari ini saya ingin berkongsi tentang tips penjagaan buku. Tips ini memang menjadi amalan saya sejak dulu lagi. Lagipun saya kan buat pinjaman buku, jadi memang kena jaga betul-betul la. Baru boleh tahan lama buku-buku saya tu. Betul tak? ;)

Mungkin tips yang saya nak kongsikan ini memang dah pun menjadi amalan pencinta-pencinta buku. Tapi tak apa, saya tetap nak kongsi juga. Kalau ada yang lain nanti bolehlah kita berkongsi pandangan ya ;)

Okey, jom kita tengok cara saya jaga buku saya.


1. BALUT BUKU

Balut buku dengan kemas menggunakan plastik buku. Membalut buku dapat memelihara kulit buku daripada rosak terutamanya di bahagian tepi buku. Ia juga dapat mengelakkan buku kita terutamanya bahagian muka buku daripada terkena debu atau apa sahaja kekotoran. Pemilihan plastik juga amat penting. Pilihlah plastik yang berkualiti dan tahan lama. Plastik yang nipis dan berkualiti rendah mudah koyak dan cepat bertindak balas terhadap haba. Jadi, pilihlah plastik yang tahan lama untuk menjimatkan kos dan masa. Tak perlulah nanti asyik kena tukar plastik saja.

2. ELAKKAN BUKU TERDEDAH KEPADA HABA PANAS

Elakkan daripada meletak buku di tepi tingkap atau tempat panas. Ini kerana ia boleh menyebabkan buku melengkung dan permukaannya tidak rata. Kadang-kala permukaan buku juga boleh kelihatan mengelembung dan plastiknya terkeluar. Bukan itu sahaja, buku yang terdedah lama kepada kepanasan juga boleh menyebabkan kertas menjadi kekuningan. Macam buku lama pula.

3. SIMPAN BUKU DI RAK BUKU

Sediakan rak buku untuk menyimpan semua buku-buku anda. Jangan biasakan dengan meletak buku di merata-rata kerana ia boleh menyebabkan buku terlipat dan rosak sekiranya anda lambat menyusunnya. Dengan adanya rak, kita boleh terus menyimpan buku yang baru dibeli. Rak buku bercermin lebih elok kerana ia boleh mengelakkan buku daripada cepat berhabuk dan berdebu. Tapi kalau nak guna rak terbuka pun boleh saja, yang penting kena rajin lap. Seminggu sekali pun dah cukup. 

4. ATUR BUKU SECARA MENEGAK

Buku seelok-eloknya disusun secara menegak atau dalam erti kata lain secara berdiri. Ini akan memudahkan kita mengambilnya. Kalau ada buku yang terlebih tinggi dan tak muat nak susun secara berdiri, barulah disusun secara baring. 

5. LETAK PENGHADANG BUKU

Jangan lupa letak penghadang buku tau sekiranya buku yang disusun belum penuh di rak. Ini sebenarnya untuk mengelakkan buku kita rosak sebab tanpa penghadang ia tidak dapat berdiri dengan baik. Lama-kelamaan buku kita boleh menjadi senget. Kan dah tak elok. Penghadang buku ni ada dijual di kedai buku, ada yang kecil dan ada yang besar. Pilihlah mengikut kesesuaian.

6. SUSUN BUKU MENGIKUT KATEGORI

Sebaik-baiknya, susun buku mengikut kategori masing-masing supaya mudah untuk mencarinya pada masa hadapan. Kalau bilangan buku kita sedikit mungkin ia tak menjadi masalah tapi bayangkan kalau buku kita banyak, pasti susah nak cari satu-satu kan. Jadi, susunlah sebelum kita kena susun dua tiga kali ;) Kalau nak susun pun boleh ikut kreativiti kita. Macam saya, saya susun buku mengikut kategori. Ada novel kreatif, novel remaja, novel kanak-kanak, bacaan umum, resipi, majalah dan lain-lain lagi. Jadi bila nak cari buku resipi ke, terus pergi ke rak buku resipi saja. Memang mudah kan!

7. LETAK LABEL PADA BUKU

Label ni maksud saya letak nombor siri pada buku. Ini juga bertujuan untuk memudahkan kita mencari sesuatu buku itu. Bila dah letak nombor siri tu, buatlah satu senarai buku-buku tersebut menggunakan Ms. Excel dengan memuatkan segala maklumat berkaitan buku tersebut. Contohnya, nombor siri, judul buku, pengarang, penerbit dan sebagainya. Bila nak cari buku, cuma check no siri dan terus pergi ambil di rak yang sepatutnya. Namun harus diingat, bila dah letak label tu... susun pun kena ikut label lah. Baru tips ini menjadi. :)

8. JANGAN LIPAT BUKU KETIKA MEMBACA

Sesetengah orang suka melipat buku ketika membaca. Ini adalah amalan yang tidak baik untuk buku. Kalau nak baca buku, bukalah betul-betul permukaannya tu. Lagi satu bila berhenti membaca, gunalah penanda buku. Jangan suka lipat mukasurat buku untuk menandanya ataupun meletak sebentar buku dengan membiarkannya terbuka menghadap lantai. Ini juga boleh menyebabkan binding buku menjadi rosak. Silap-silap boleh lekang pula.

9. AWASI SERANGGA PEROSAK

Pastikan rumah sentiasa bersih dan bebas daripada serangga perosak seperti tikus, lipas, cicak dan anai-anai. Sekiranya rumah kita ada serangga tersebut, pastikan kita sentiasa menjaga rak buku kita dengan mengelapnya setiap hari. Saya kalau ada masa, siap lap buku saya satu-persatu.

10. SAYANGI BUKU KITA

Ini adalah tips yang amat penting. Sayangi buku anda... bila dah sayang pasti kita akan menjaganya dengan sebaik-baiknya. 

Itu saja tips untuk kali ini. Pesanan untuk diri sendiri dan pembaca semua, bacalah buku walaupun seminggu sekali. Jangan beli buku banyak-banyak dan buat hiasan sahaja. Kan dah membazir ilmu yang ada. Biar alah membeli, menang memakai ya.

Nota: 
Entri 10 tips penjagaan buku ini adalah entri ulangan dari blog lama saya iaitu D'Rauna Gallery. Boleh rujuk pautan di bawah.


Jumpa lagi.

26 comments:

  1. Terimakasih atas perkongsian :) Sangat berguna untuk saya. hee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama Ika. Alhamdulillah, sekadar berkongsi ilmu dan pandangan.

      Delete
  2. Alhamdulillah
    Jadikan membaca sebagai amalan hidup kita

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Semoga amalan ini dapat diturunkan kepada anak cucu kita.

      Delete
  3. tips ni memang berguna... cuma sy xde letak pelekat no la pada buku sebb x bnyk mana pun buku yg ada hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. As nanti nak teruskan projek sewa buku, so ada masa memang kena rekod siap-siap. Itu pun masih banyak yang tertangguh..hehe

      Delete
  4. Saya lemah bab balut buku tu sebab tak reti balut hahahaha, tapi tips tips lain memang saya ada buat jugak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masa nak balut tu ambil masa juga. Tapi kalau dah start tu, lama-lama laju la.... :))

      Delete
  5. Yup balut buku jangka hayat buku akan lama. Terima kasih :)

    ReplyDelete
  6. saya pun kurang gemar lipat-lipat muka surat untuk penanda. rasa sayang sangat page tu..haha..selalunya akan guna penanda buku atau washi tape untuk tanda bahagian yang best :P

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe bagus macam tu... lagipun buku yang kita beli semuanya buku yang kita suka kan. Mesti sayang kan...

      Delete
  7. Di rumah kamu ke tu? Sudah macam perpustakaan. Terbaik.. Saya ada juga koleksi buku, tetapi belum banyak lagi. Ada juga yang dah diletakkan di dalam kotak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, As ada perpustakaan mini di rumah. Gambar ni wajah perpustakaan mini tahun bila ntah, dah lupa pula. Sebab sekarang ni dah bertukar wajah macam lain pula susunan raknya. Sekali-sekala As akan ubah susunan rak... hihi

      Delete
  8. Great tips! Bab baca buku tu yang penting. Akak dah kena letak syarat kat diri sendiri jangan beli buku baru selagi buku-buku lama tak usik. Tabiat tsundoku kena buang hahahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wah, bagusnya. As ada la suatu ketika tu, pejam mata dari tengok buku-buku baru. Punya la tak nak beli sebab terlalu banyak buku yang belum dibaca. Tapi sat saja la, lepas tu beli balik...

      Delete
  9. ok..nak tambah penghadang buku

    ReplyDelete
  10. waalaikumussalam. wah menarik sangat perpustakaan mini kat rumah As tu. lawa sangat ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih, tapi ini wajah lama. Dah banyak kali tukar susun atur rak...

      Delete
  11. Terima kasih utk tips ni.. sangat berguna. Boleh sy tahu, kalau nak balut buku tu mcm mana nak pastikan kita pilih plastik yang berkualiti? Ada rekomendasi jenama plastik untuk buku?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pilihan plastik biasanya As pilih yang tebal. Plastik yang selalu kita guna untuk balut buku teks sekolah tu...

      Ada plastik yang nipis, tapi yang nipis selalunya cepat jer tarcarik/terkoyak...

      Delete
  12. Ada beberapa tips saya buat macam susun dalam rak, tidak lipat buku. Balut buku itu ada beberapa buku saya buat.
    Ada pengetahuan baru macam jangan letak tempat panas.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, kadang-kadang rak kita letak tepi tingkap kan.. Kalau kena haba panas memang lama-lama buku akan rosak.

      Delete
  13. Paling tak suka bila bagi pinjam buku dan orang lipat buku kita. Aduhhh sakitnya hati tu.. Sebab kita kemain la jaga dan tak lipat buku tu. Tapi bila orang pinjam dorang lipat sesuka hati.

    Btw Tq As for sharing cara penjagaan buku..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alamak, bertabahlah kita kan. As dulu buat pinjaman buku, memang macam-macam dugaan. Sayang buku ceq ooiii.... hihi

      Delete