Pages

Tuesday, 18 February 2014

Kuali & Senduk Kayu As: Syoknya Memasak

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google & Koleksi Peribadi


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini saya ingin memperkenalkan satu segmen baru di blog saya yang diberi nama "Kuali & Senduk Kayu As: Syoknya Memasak". Segmen ini wujud sebab saya memang suka memasak. Walaupun tak masak setiap hari tetapi minat memasak tu sentiasa di hati. Tapi saya tak kata yang saya ni terror bab-bab memasak ni cuma saya suka memasak yang ringkas-ringkas jer, sesuailah untuk mereka yang sibuk dengan kerja.

Segmen ini juga diharap dapat memberi inspirasi untuk semua. Yang mana sebelum ni kurang gemar memasak, lepas ni mesti rasa suka nak masak. Sebab resepi-resepi yang bakal saya kongsikan nanti merupakan resepi ringkas, mudah dan cepat disediakan. Memang sesuai untuk mereka yang baru balik kerja, terus masak dan sedia untuk dimakan.

Lagi satu nak beritahu, saya ni kalau memasak tak suka guna periuk segala. Saya akan menggunakan kuali walaupun masak kari. Pelik tak? Saya pun tak tahu kenapa tetapi itulah kenyataannya. Semua masakan saya menggunakan kuali. Bukan itu sahaja, saya juga akan menggunakan senduk kayu untuk mengacau masakan saya. Saya ada teori yang tersendiri iaitu sesuatu yang dimasak menggunakan senduk kayu pasti lazat. Teori ni boleh diguna pakai tau. Tak caya boleh cuba tengok. Hehe... So, sebab itulah segmen ini dinamakan Kuali & Senduk Kayu As. Ha... amacam? Istimewa kan?

Okeylah, jangan lupa nantikan resepi ringkas tapi lazat daripada saya. Dan yang pastinya, semua resepi ini adalah hidangan kesukaan saya dan keluarga.

Jumpa nanti ya.

Learning Is Fun T__T

Monday, 17 February 2014

Jom Cuti-Cuti Malaysia

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian google

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Menarik kan tajuk entri kali ini? Macam nak belanja pembaca semua makan angin pula. Kan...? Hehe... Yelah, sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 ini apa kata kita semua merancang percutian kita di dalam Malaysia. Banyak tempat-tempat menarik yang boleh kita lawati. Nak pergi pulau... snorkeling... naik bot... nak makan sedap-sedap... semua ada di Malaysia.

Bercuti ni bukan bermakna kita kena pergi ke tempat yang jauh atau tidur di hotel, memadailah sekiranya kita dapat meluangkan masa bersama keluarga pergi ke tempat-tempat yang menarik. Tak kiralah dekat atau jauh. Percutian sehari pun dikira bercuti juga kan. Apa yang penting adalah masa yang berkualiti bersama keluarga dan sahabat handai.

Tapi kalau ada budget lebih tu, bolehlah bercuti jauh sedikit. Kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan. Betul tak..?

Sebenarnya, bercuti ni bagus untuk mengeratkan kasih sayang sesama kita. Bagi sesiapa yang selalu stress tu (macam saya kot) inilah masanya untuk kita merehatkan diri dan minda. Ambil udara segar sebelum kembali bekerja. Masa bercuti tu, jangan pula kita bawa laptop segala. Kalau boleh handphone pun kena off. Tapi susah juga kan...kalau off handphone masalah juga. Bukan apa, takut ada emergency pula nanti. Hehe...

Okeylah, apa-apa pun sebelum bercuti, rancang percutian anda dengan sebaik-baiknya. Sediakan iltinerary sesuai dengan keperluan dan masa yang diperuntukkan. Semoga percutian anda memberi seribu satu kenangan terindah.

Selamat Bercuti.

Learning Is Fun T__T

Saturday, 8 February 2014

Kisah Benar

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Inilah kesinambungan kisah saya...

...Sehinggalah pada suatu hari, saya dan kawan-kawan keluar membeli belah di pekan Parit Buntar. Dulu dipanggil Pekan Lama. Dari Parit Buntar balik ke rumah, saya perlu mengambil dua bas yang berlainan. Dari Parit Buntar ke Pekan Serdang menaiki bas hijau yang terlompat-lompat. Dan dari Serdang ke rumah pula, saya perlu mengambil satu lagi bas. Oleh kerana hari sudah senja, saya tidak mengambil bas biasa tetapi saya menunggu bas ekspress (bas Jadam) yang datangnya sejam sekali menuju ke Pekan Kulim. Memandangkan bas Jadam tiba lebih awal jadi saya mengambil keputusan untuk menaiki bas Jadam sahaja..

Jarak dari Pekan Serdang ke simpang masuk kampung saya cuma kurang dari 10 minit. Baru selesai bayar tambang, belum sempat nak duduk lama, dah pun sampai. Dalam terkocoh- kacah saya terus menyambar semua beg-beg plastik hasil membeli-belah dan terus turun dari bas tanpa saya sedar bahawa saya telah tertinggal barang yang amat berharga di atas kusyen bas tersebut. Cuba teka apa dia? Ya, tepat sekali. Saya telah kehilangan beg duit saya yang mengandungi berpuluh-puluh koleksi sajak hasil nukilan saya. Bayangkan bagaimana perasaan saya pada ketika itu. Terasa seluruh jiwaku pergi, terbang melayang, hancur luluh semuanya.

Dan semenjak hari itu, saya bagaikan tiada daya untuk menulis lagi. Semunya terbang hilang entah ke mana. Tiada lagi ayat-ayat puitis, tiada lagi kata-kata romantis. (eh, macam sama jer.) Saya bagaikan si buta kehilangan tongkat, teraba-raba mencari cahaya namun hingga ke akhirnya, cahaya tetap tidak menjelma. Tiada kata seindah bahasa yang dapat kulakarkan, penaku terhenti, helaian kertas tetap kosong sehingga dimamah usia.

Namun bagaikan sudah tersurat, kisahku tidak terhenti lagi. Menjejaki menara gading, aku sekali lagi terlontar ke dunia sastera. Aku tetap ghairah meneroka bukan hanya Kesusasteraan Asia bahkan Kesusasteraan Eropah, Kesusasteraan Afrika Moden, Kesusasteraan Amerika dan Nusantara. Pelbagai buku dan novel berlainan genre menjadi kajianku. Antaranya novel-novel seperti Sudara karya Arena Wati, Sumpah Tujuh Keturunan karya Gabriel Garcia Marquez, Korban Fitnah karya Chakt Kobjit, Laungan Kebebasan karya John Briley, Kalbu karya Soseki Natsume dan Robinson Crusoe karya Daniel Defoe. Semuanya bagaikan menjadi makananku.


Ironinya, walau apapun yang terhidang, aku tetap akur bila mana penaku tetap tidak mahu menari. Bukan berputus asa jauh sekali hendak menguburkan minat dalam bidang penulisan, aku cuma tidak terdaya untuk kembali memulakan rentakku. Akhirnya aku akur dan pasrah. Mungkin belum sampai waktunya. Setelah menggenggam segulung ijazah, aku banyak menghabiskan masa dengan dunia pembacaan. Aku menjadi seorang pembaca yang dahagakan ayat-ayat kreatif. Satu persatu novel hasil tulisan novelis-novelis terkenal menjadi santapan senggangku. Satu demi satu menjadi koleksi kesayanganku. Indah tersusun di rak buku putihku (dulu rak putih tapi sekarang dah macam-macam kaler).

Dan dari hobi membaca, lahirlah sebuah perpustakaan mini di teratak comelku. D' Rauna Gallery wujud bilamana dunia penulisanku bagaikan merajuk menjauh diri. Aku leka diuliti novel-novel cinta, bertemankan majalah-majalah penuh berinformasi, buku-buku motivasi dan apa sahaja yang menarik bagiku. Aku bagaikan sudah melupai dunia menulisku, jauh dari pena dan kertas. Impian untuk menjadi penulis hanya tinggal impian sahaja. Dunia pembacaan yang mengisi ruang membuatkan aku tidak punya waktu untuk menangisi impian semalam yang tidak kesampaian.

Aku tidak pernah menyesali takdirku. Dunia pembacaan membawaku mengenali secara dekat dengan novelis-novelis kesayanganku. Mengenali mereka membuatkan semangatku kembali menyala. terasa berkobar-kobar kembali. Ya, aku ingin menjadi seperti mereka! Aku ingin duduk di barisan penulis menanti kunjungan peminat-peminatku untuk mendapatkan tandatanganku dan bergambar mesra. Aku menjadi semakin bersemangat pabila impian yang satu ini mendapat reaksi yang positif daripada rakan-rakan terdekatku. Semuanya memberi galakan dan menanti karya sulungku.

Dan akhirnya, lahirlah sebuah cerita tidak bernoktah daripadaku....

BERSAMBUNG.

Learning Is Fun T__T

Thursday, 6 February 2014

Kisah Alya Dan Nasi Ayamnya

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi

Latihan Penulisan: Tugasan berdasarkan gambar.

"Assalamualaikum, ibu,” laung Alya sambil menapak satu per satu anak tangga rumah.

“Alya dah balik ni,” kata Alya lagi.

“Waalaikumsalam. Amboi anak ibu ni, dari jauh dah terpekik-pekik. Malulah dekat jiran-jiran. Alya dah besar tau. Jaga tingkah laku tu sikit,” bebel Puan Aini sambil menarik hidung Alya.

Alya tersengih cuma. Begitulah dia. Memang sudah menjadi kebiasaannya untuk berteriak nama ibunya sebaik sahaja pulang dari sekolah. Alya adalah anak tunggal kepada Puan Aini dan Encik Azmi. Dahulu, Alya mempunyai seorang kakak namun kakaknya diserang demam panas dan meninggal dunia sewaktu usianya dua tahun. Semenjak hari itu, Alya ditatang bagaikan minyak yang penuh. Setiap kemahuannya dituruti. Dia dimanja dan disayangi oleh seluruh ahli keluarga.

“Wah, sedapnya bau! Ibu masak apa hari ini?” tanya Alya.

Belum sempat Puan Aini menjawab Alya sudah pun meluru ke dapur. Tudung saji dibukanya dan matanya menjamah hidangan yang tersedia.

“Wow, nasi ayam!" Alya terus merasa sedikit nasi ayam itu. "Sedapnya. Ibu yang masak ke?"

“Bukan ibu yang masak. Abah yang belikan tadi. Dah, dah, pergi mandi dulu. Lepas tu solat. Nanti kita makan sama-sama.” Puan Aini menasihati anaknya. Alya ada kalanya begitu keanak-anakan walaupun umurnya sudah mencecah sebelas tahun. Kadang-kadang dia merasakan bahawa mereka suami isteri sudah terlebih memanjakan Alya namun apakan daya, Alyalah satu-satunya permata hati mereka yang tinggal. Dialah racun, dialah juga penawar.

Pon! Pon!

Bunyi hon mengejutkan lamunan Puan Aini. Dia segera bergegas menjenguk ke luar. Kelihatan Abang Posmen sedang setia menanti dengan senyuman di bibir. Puan Aini segera turun mendapatkannya. Sepucuk surat bertukar tangan. Puan Aini turut melemparkan senyuman mesra sambil mengucapkan terima kasih.

Tatkala kembali ke dapur, Puan Aini menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah Alya yang rakus menikmati keenakan Nasi Ayam Periuk Besar yang dibeli suaminya itu. Puan Aini melabuhkan duduknya di sebelah Alya. Keasyikan Alya menikmati hidangannya itu menghiburkan hatinya. Nasi Ayam Periuk Besar memang cukup terkenal dalam kalangan teman-teman sekerja suaminya. Nasinya yang enak dan wangi memang sedap waima dimakan begitu sahaja. Ditambah pula dengan kerangupan ayam goreng berempahnya, memang sedap sehingga menjilat jari. Kata orang, kalau ibu mertua lalu pun tak nampak. Puan Aini tersenyum sendiri.

“Apa yang dimenungkan tu ibu. Jomlah makan,” ajak Alya.

Puan Aini tersentak. Dia segera mencapai pinggan dan mencedok sesenduk nasi.

“Sedapnya nasi ayam ni, ibu. Esok suruh abah belikan lagi tau,” pinta Alya.

“Eh, mana boleh makan tiap-tiap hari sayang. Sekali-sekala tak apalah,” ujar Puan Aini.

“Ala, bolehlah ibu. Sedapnya nasi ini. Alya nak makan tiap-tiap hari juga,” rengek Alya lagi. Begitulah Alya, kedegilannya semakin hari semakin terserlah. Setiap kemahuannya harus dipenuhi. Jika tidak, berhari-harilah Puan Aini dan Encik Azmi akan mengadap wajah kelatnya.

“Yalah, yalah. Nanti ibu suruh abah belikan.” Puan Aini mengalah. Malas mahu bertekak di hadapan rezeki.

Begitulah rutin Alya, setiap hari selepas pulang dari sekolah, sebungkus Nasi Ayam Periuk Besar sudah menantinya. Dia tetap berselera menikmati nasi ayam lagak baru pertama kali merasanya. Saban hari tanpa jemu. Puan Aini dan Encik Azmi membiarkan sahaja telatah Alya. Apa yang penting bagi mereka adalah kegembiraan Alya. Kegembiraan Alya, kegembiraan mereka juga.

Sehinggalah pada suatu hari, seperti biasa sekembali dari sekolah Alya akan ke dapur terlebih dahulu untuk memastikan Nasi Ayam Periuk Besar setia menanti santapannya. Tapi tengah hari itu, tiada nasi ayam kegemarannya. Yang ada hanyalah kari ikan kesukaan abahnya. Alya resah. Dia terus mencari-cari nasi ayamnya itu. Habis semua periuk di dapur diperiksanya. Namun kelibat nasi ayamnya tiada kelihatan. Alya buntu.

“Ibu! Ibu!” pekik Alya.

Puan Aini yang sedang melipat kain di bilik terkocoh-kacah mendapatkan Alya di dapur. Sangkanya, ada sesuatu yang buruk berlaku pada Alya.

“Apahal ni Alya? Bising-bising ni. Malulah sikit.”

“Mana nasi ayam Alya, ibu?” jerkah Alya. Kasar.

Puan Aini mengurut dada. Tersentak dengan jerkahan anaknya itu.

“Abah sibuk hari ini, Alya. Abah tak sempat nak belikan untuk Alya. Kan ibu dah masakkan kari ikan. Alya makan ajelah. Ye sayang,” pujuk Puan Aini.

“Tak nak! Alya tak nak kari ikan. Alya nak nasi ayam juga!” Alya mula menangis. Dia menghentak-hentakkan kakinya ke lantai. Beg sekolahnya dicampakkan ke tepi. Habis bertaburan buku-buku sekolahnya.

“Alya, dengar sini sayang. Bukan abah tak nak beli tapi hari ini abah sibuk. Kawan abah ada kecemasan. Jadi abah kena gantikan tempat kawan abah itu. Sebab itulah abah tak boleh balik hantarkan nasi ayam Alya. Abah banyak kerja sayang,” pujuk Puan Aini lagi.

Alya terus mengguling-gulingkan badannya ke lantai. Tangisannya semakin menguat. Puan Aini kaget melihat reaksi Alya. Dalam masa yang sama dia merasa marah dengan sikap Alya yang kasar dan tidak menghormatinya sebagai ibu. Puan Aini mencapai telefon bimbitnya dan cuba menghubungi suaminya. Dia berkira-kira untuk meminta Encik Azmi memujuk Alya. Belum sempat bercakap apa-apa, Alya terus merampas telefon bimbit dari tangannya.

“Alya nak nasi ayam. Kenapa abah tak beli nasi ayam untuk Alya?”

Encik Azmi terkejut dengan sergahan anaknya itu. Dia beristighfar di dalam hati.

“Kenapa ni Alya? Cuba cakap elok-elok sikit dengan abah,” sela Encik Azmi.

“Alya tanya kenapa abah tak beli nasi ayam untuk Alya? Abah kan tahu, Alya nak makan nasi ayam tiap-tiap hari!”

Encik Azmi terdiam. Nada suara Alya tetap kasar dipendengarannya. Dia merasa sedih tiba-tiba. Dia merasakan bahawa dia sudah gagal mendidik Alya menjadi seorang yang lemah-lembut dan bersopan-santun. Jika dengannya pun Alya sanggup bercakap kasar, apatah lagi dengan orang lain. Encik Azmi mengeluh sesal.

“Alya, dengar dulu apa abah nak cakap ni. Alya dah besar kan. Alya tidak boleh bersikap begini. Alya sepatutnya boleh faham kenapa abah tak beli nasi ayam hari ini. Tentu ibu dah jelaskan pada Alya kan?” Encik Azmi cuba berdiplomasi.

“Tak! Alya tak nak tahu. Alya cuma nak nasi ayam sahaja.” Alya tetap dengan kedegilannya.

“Abah memang tak sayangkan Alya. Dulu, abah akan turut apa saja kehendak Alya. Abah akan beli apa sahaja yang Alya pinta. Walaupun abah sibuk, abah tetap pentingkan Alya. Tapi hari ini, abah lebih pentingkan kerja abah daripada Alya!”

Encik Azmi kaget. Bingung dengan emosi berlebih-lebihan Alya itu.

“Bukan macam tu, Alya. Abah bukan sengaja tak beli nasi ayam. Abah betul-betul sibuk. Tak boleh nak keluar. Jangan cakap macam tu Alya. Sedih abah mendengarnya. Abah sayang pada Alya. Abah benar-benar sayangkan Alya.” Encik Azmi beremosi.

“Tak, abah jahat. Abah dah tak sayangkan Alya!” Alya terus menghempaskan telefon dan berlari masuk ke biliknya.

Puan Aini yang sedari tadi diam tidak berkutik terpempam dengan sikap Alya. Tanpa sedar, air matanya mengalir laju.

******

Alya berjalan menyelusuri sebatang anak sungai di belakang rumahnya. Dia merasa damai melihat keindahan suasana dengan pohon-pohon kelapa yang melambai. Di kejauhan, dia terpandang seorang gadis seusianya sedang duduk sambil memegang sesuatu. Alya menghampiri gadis tersebut.

“Assalamualaikum, awak. Saya Alya. Awak buat apa seorang diri di sini?” tegur Alya ramah.

Gadis tersebut hanya menunduk. Diam tidak bersuara. Alya merasa serba salah. Dia terus beredar kerana disangkanya gadis tersebut tidak ingin diganggu. Tiba-tiba dia mendengar esak tangis suara seseorang. Alya lantas berpaling. Dia terkejut melihat gadis tersebut sedang menangis teresak-esak. Alya lantas mendapatkannya semula.

“Kenapa ni, awak? Awak sakit ke?”

Gadis tersebut tidak menjawab soalan Alya tetapi menyerahkan sesuatu yang berada di dalam pegangannya. Alya melihat gambar seorang lelaki yang segak berbaju kemeja.

“Ini mesti ayah dia.” Alya bermonolog sendiri.

“Ayah awak?” Alya mencari kepastian. Gadis tersebut hanya menganggukkan kepala.

“Kacaknya ayah awak. Mesti dia sayang sangat kat awak, kan?”

Gadis itu hanya merenung sayu. Air matanya kembali mengalir. Alya kaget.

 “Dia dah tak ada, dah meninggal. Semuanya salah saya. Kalaulah saya tidak memaksanya keluar beli nasi ayam, mesti ayah saya masih hidup. Pasti dia tidak akan dilanggar oleh lori. Salah saya, memang salah saya!”

Alya terpinga-pinga. Nasi ayam... dilanggar lori... meninggal dunia.... Serentak ingatannya kembali teringatkan abahnya. Alya tidak menunggu lama. Dia terus berlari balik ke rumahnya sambil berteriakkan nama abahnya.

“Abah! Abah! Alya minta maaf abah. Tolong jangan tinggalkan Alya.”

Puan Aini dan Encik Azmi yang ralit menonton televisyen di ruang tamu terkejut mendengar jeritan Alya. Mereka terus berlari ke bilik.

“Alya, Alya. Bangun nak. Alya bermimpi ni.” Encik Azmi menggoyang-goyangkan tubuh Alya.

Alya terjaga daripada tidurnya. Dia melihat sekeliling. Tatkala pandangan matanya berlaga dengan pandangan mata abahnya, dia terus memeluk erat.

“Alya minta maaf, abah. Alya banyak berdosa dengan abah. Alya janji Alya akan jadi anak yang baik dan mendengar nasihat abah. Alya sayangkan abah. Abah jangan tinggalkan Alya, ya.”

Encik Azmi membalas pelukan Alya. Fahamlah dia kini yang Alya telah bermimpikan sesuatu yang menyedarkannya atas kesalahannya itu.

“Sudahlah tu, Alya. Abah dan ibu maafkan Alya. Tapi Alya kena janji tak akan buat lagi tau.” Encik Azmi mengusap-usap kepala Alya.

“Alya janji, abah, ibu.” Alya tersenyum seraya mencium tangan abah dan ibunya.

“Sudahlah tu. Alya pergi mandi dulu. Nanti boleh makan nasi ayam sama-sama.”

“Apa, abah. Nasi ayam. Sedapnya. Alya pergi mandi dululah.” Alya terus mencapai tuala dan berlari ke bilik air. Encik Azmi dan Puan Aini berpandangan sesama sendiri dan akhirnya mereka ketawa bahagia.

TAMAT.

Learning Is Fun T__T