Pages

Wednesday, 28 May 2014

Puisi Rindu Buat Kekasih

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google


Puisi Rindu Buat Kekasih

Sayang
Bila kau tiada
Aku rasa kehilangan
Rasa kesepian
Terasa kekosongan

Sayang
Bayangmu di mana-mana
Wajahmu melayari minda
Sedih hatiku bila kau tiada

Sayang
Aku mulai rindu
Rindu mendengar suaramu
Rindu menatap wajahmu
Rindukan senyumanmu yang mahal itu

Sayang
Pulanglah
Aku menanti kehadiranmu
Kita melangkah bersama
Mata bertaut mesra
Penuh bahagia.

Sayang...
Sungguh...
Aku rindu padamu...!

As Samsudin
28 Mei 2014
Jam1630


Tuesday, 27 May 2014

Salam Israk Mikraj 1435H

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

27 Rejab 1435H bersamaan 27 Mei 2014.
Salam Israk Mikraj buat pembaca semua. Hari ini merupakan hari cuti umum bagi negeri Kedah sempena Israk dan Mikraj. Di saat orang lain bercuti, saya pula bekerja. Tapi tak apa, cuti atau kerja tak penting, yang penting kita memahami apa itu peristiwa Israk Mikraj.

Jom kita baca perkongsian yang amat bermanfaat ini. Semoga ia memberi pengajaran dan menimbulkan keinsafan kepada kita semua.

Israk Mikraj

Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasulullah SAW dan dalam sejarah umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj ini didahului dengan beberapa peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah SAW. Antaranya kematian bapa saudara Baginda, Abu Talib dan kewafatan isteri Baginda yang tercinta iaitu Saiyidatina Khadijah rha. Begitu juga peristiwa penolakan kaum Taif terhadap dakwah Baginda. Maka peristiwa Israk dan Mikraj ini dirumuskan sebagai kemuliaan dan hiburan istimewa dari Allah SWT kepada kekasih-Nya.

Ringkasan peristiwa Israk dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj 

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah SAW dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil-Aqsa) 

Sepanjang perjalanan (Israk) itu, Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah SAW telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah: 
  1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah SAW akan melakukan hijrah. 
  2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah SWT.   
  3. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan)
    Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. 

    Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut:
    • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang2. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak. 
    • Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).  
    • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).
    • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail: Itulah orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka. 
    • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami. 
    • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba. 
    • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain. 
    • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali2. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. 
    • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang. 
    • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat. 
    • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai hiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat. 
    • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia2kan umurnya sampai ke tua. 
    • Seorang perempuan bongkok 3 menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
    Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah SAW turun dari Buraq. Kemudian Baginda masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat 2 rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

    Rasulullah SAW terasa dahaga lalu dibawa Jibrail 2 bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

    Semasa Mikraj (Naik ke Hadratul-Qudus Menemui Allah SWT) 

    Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). 

    Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang2 yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan. 

    Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

    Langit Ke-3: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS. 

    Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS. 

    Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil. 

    Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi2. Seterusnya dengan Nabi Musa AS. Rasulullah SAW mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. 

    Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu denan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah SWT pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

    Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haula Wala Quwwata Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah 5 kalimah, iaitu Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha Illallah Allahu Akbar dan Wa La Haula  Wa La Quwwata Illa Billahil - 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

    Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah di Mekah). 

    Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi pemata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta Malik penunggunya. 

    Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Baginda dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur' Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

    Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah SAW sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

    Allah SWT: Ya Muhammad.

    Rasulullah SAW: Labbaika.

    Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. 

    Rasulullah SAW: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata2 dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

    Allah SWT: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik2 umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan 7 ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat2 di akhir surah al-Baqarah sebagai satu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji2 Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji2mu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang. 

    Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas 9 kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

    Selepas Mikraj

    Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya Baginda turun ke Baitul-Maqdis lalu menunggang Buraq ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira2 18 bulan sebelum hijrah). 
    Wallahu'alam.

    Sumber:
    • http://ibuberbicara.blogspot.com/2013/06/peristiwa-israk-mikraj-nabi-muhammad-saw.html
    • http://ohislam.com/israk-mikraj-27-rejab/

    Learning Is Fun T__T

    Thursday, 22 May 2014

    Khasiat Vitamin Pedivit

    Teks: Masitah Samsudin
    Foto: Koleksi Peribadi & Carian Google


    Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

    Sekadar nak berkongsi cerita, Sudah hampir seminggu saya mengalami pening kepala yang amat teruk. Terasa pening berpusing-pusing sehingga merembeskan air mata. Walaupun dah sakit macam tu saya masih tak berminat untuk berjumpa doktor. Bukan takut tapi biasalah... degil sikit saja;) Alkisahnya nak dijadikan cerita, sakit tak tertahan sangat saya pun keluar juga la pergi klinik. Setelah habis diperiksa oleh seorang Doktor Hensem, saya pun diberi pelbagai jenis ubat. Sesampai sahaja di rumah, ubat tadi cuma menjadi penghuni setia meja makan saya. Saya terus masuk tidur dan terlena sehingga ke pagi.

    Keesokannya, pening masih terasa namun saya tetap bersiap seperti biasa untuk ke tempat kerja. Ketika ingin meminum segelas air, mata terpandangkan plastik ubat tersebut. Saya terus mencapainya dan memasukkan ke dalam beg. Sebelum pergi sarapan di kafe pejabat, saya teringatkan ubat tadi. Saya mengambilnya dan membelek seketika. Mujur saya membeleknya kerana sudah ditanda dengan jelas bahawa pengambilannya adalah sebelum makan. Jadi saya pun mengambil 3 biji untuk 3 jenis ubat yang berlainan. Walaupun ada yang perlu diambil 2 biji sekali makan, saya cuma mengambilnya sebiji. Bukan takut yer, tapi saya tak suka makan ubat! Titik. Waa... pengakuan berani mati ni. Hehe...

    Ketika sedang elok bekerja, tiba-tiba hati terkenangkan ubat tersebut. Entah ubat apalah yang saya makan. Saya pun tak pasti. Jadi saya pun mengambil dan membeleknya satu-persatu. Ada tiga jenis ubat; pertamanya ubat pening. Ubat ni kecil sahaja jadi, memang senang nak telan. Keduanya ubat angin, kena kunyah yer kawan-kawan. Jangan ditelan begitu sahaja nanti lekat kat kerongkong. Ubat ni besar la, sebesar duit syiling 5sen. Rasanya manis-manis kelat. Eee... tak suka la. Lepas kunyah tu rasa macam ada serpihan sikit. Saya terus minum air dan telan. Senang sikit :D

    Dan yang ketiga ialah vitamin. Amboi Doktor Hensem... bagi saya vitamin. Ni mesti dia ingat saya tak cukup vitamin ni. Vitamin ni besar tau, sebesar jari kelingking saya cuma taklah sepanjang jari. Memang seksa nak telan. Haha... Belek punya belek tiba-tiba saya terpandangkan tulisan pada ubat tersebut. Ada perkataan yang dicop cantik pada kapsul ubat tu. P.E.D.I.V.I.T. Hmm... vitamin apa pulak ni. Maklumlah... dulu tak belajar sains farmasi sebab tu tak tahu pasal ubat.

    Jadi, saya dengan terujanya dan tak puas hatinya meminta bantuan Encik Google. Google punya google inilah yang saya jumpa. Jadi , nak share buat anda semua pasal vitamin Pedivit ni.

    PEDIVIT FORTE Capsules
    Sumber: http://unimed.com.my/?p=105
    Category
    Multi Vitamins / Vital minerals / Health Supplement
    Composition
    Each brown colour soft gelatin capsules contains:Vitamin A USP (As Palmitate)………………..…2000I.U
    Vitamin B-1 BP………………………………………1mg
    Vitamin B-2 BP…………………………….……….1mg
    Vitamin B-6 BP……………………………………1.34mg
    Niacinamide BP…………………………………….
    Calsium Pantothenate USP……………………….1mg
    Vitamin B-12 BP……………………………………1mcg
    Ascorbic Acid BP………………………………….33.3mg
    Cholecalciferol USP……………………………….270 I.U
    Calsium (from Dicalcium Phosphate BP)………..190mg
    Phosphorous (from Dicalcium Phosphate BP)….140mg
    Iron (From Ferrous Sulphate BP)…………………5mg
    Copper (From Ferrous Sulphate BP)…………0.01mg
    Iodine (From Potassium Iodide BP)………….0.0015mg
    Magnesium (From Magnesium Sulphate BP)……1.0mg
    Manganese (From Manganese Iodide BP)…….0.01mg
    Potassium (From Potassium Iodide BP)………….1mg
    Zinc (From Zinc sulphate BP)……………………0.15mg
    Indications
    Restore High energy levels,To improve body metabolism, build
    body resistance, Healthy maintanence & functioning of nerve cells,
    heart cells,muscles and bones.
    Promote normal growth & development of RBCs
    Helps cope with stress, reduces fatigue and enhance work efficiency
    Packing
    500’s
    Manufacturer

    Unique Pharmaceuticals
    Reg No: MAL19913338X
    Okey, saya bagi rumusan sikit. Vitamin Pedivit ni adalah multivitamin yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (MAL 19913338X). Jadi tak perlu ragu-ragu yer. Ia terdiri daripada pelbagai vitamin dan mineral. Sebenarnya, ia telah lama bertapak di negara kita tetapi mungkin ramai yang tidak tahu. Saya salah seorang daripadanya :) Ia boleh didapati di sesetengah farmasi. Yang penting ianya tiada dadah atau bahan beracun. 


    Kekurangan zat dan mineral menyebabkan badan kita cepat merasa letih dan tidak bertenaga. Jadi, untuk memastikan kita sentiasa sihat, cergas dan bertenaga, pengambilan vitamin Pedivit amat membantu. Di bawah ini saya senaraikan peranan vitamin Pedivit.
    1. Mengembalikan tahap tenaga yang tinggi
    2. Meningkatkan kadar metabolisme badan
    3. Membina rintangan badan
    4. Menyelenggara fungsi sel-sel saraf, sel-sel jantung, otot-otot dan tulang
    5. Menggalakkan pertumbuhan normal dan pembangunan RBCs
    6. Membantu menangani tekanan (stress)
    7. Mengurangkan keletihan
    8. Meningkatkan kecekapan kerja
    Sekian sahaja untuk kali ini, semoga ianya bermanfaat untuk kita semua.

    Jom Cantik & Sihat,

    Tuesday, 20 May 2014

    Oh Mempelamku!

    Teks: Masitah Samsudin
    Foto: Koleksi Peribadi


    Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

    Ha, terliur tak tengok buah mempelam ni? Terliur kan... tu belum tengok buah mempelam yang telah siap dikupas dan dipotong duduk bersila bersama-sama semangkuk kuah rojak Mek Bee. Dengan warnanya yang kuning menawan dan kuah rojak yang pedas berbisa, pasti membuatkan hati tertawan. Mesti ada yang sudah tidak sabar menantikan waktu habis kerja, sudah berkira-kira untuk singgah di gerai Pak Ali mencari buah mempelam dan kuah rojak Hehehe...

    Buah mempelam ni dipanggil mempelam Salak. Harganya taklah semahal buah Harum Manis tapi isinya memang sangat sedap. Sebenarnya buah mempelam ni pemberian seorang sahabat dari Perlis. Saban tahun bila tibanya musim mempelam pasti ada habuannya untuk saya sekeluarga. Siap dipek sekotak besar. Memang boleh makan puas-puas memandangkan buahnya besar-besar.

    Buah mempelam ni biasanya kita akan makan begitu sahaja. Buah yang sudah tua dan isinya kekuningan memang sedap kalau dimakan bersama garam, serbuk asam atau kuah rojak. Kata orang sedap menyicah, mak mertua lalu pun sudah tidak nampak. Bukan itu sahaja, buah ni boleh juga dibuat kerabu. Makan dengan nasi putih panas-panas... aduh... memang superblah.

    Ada juga sesetengah orang suka makan buah mempelam bersama gula. Buah yang siap dikupas tidak dipotong kecil-kecil sebaliknya dicincang halus memanjang. Kemudian barulah dihiris nipis. Gaulkan bersama gula. Hmm, memang meleleh air liurlah. Kalau tak percaya boleh cuba...:D

    Okeylah, tak boleh cerita panjang-panjang pasal buah mempelam nanti ada orang kempunan pula. Hehe... Apapun, terima kasih banyak-banyak kawanku Fera dan emakku yang tersayang kerana tak pernah lupa mengirimkan buah mempelam kesukaan anak angkatmu ini. Hehe...

    Terima kasih daun keladi
    Tahun depan bagi lagi T__T

    Monday, 19 May 2014

    Cucuq Lenggang Bergula Warisan Bonda

    Teks: Masitah Samsudin
    Foto: Koleksi Peribadi


    Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

    Wah, terasa seperti satu kepuasan lah pula bila dapat berkongsi resipi-resipi kesukaan sendiri. Mungkin resipi saya ni biasa-biasa sahaja, kata orang tak glamer gitu tapi tak apalah, yang penting niat di hati ikhlas ingin berkongsi :)

    Resipi Cucuq Lenggang Warisan Bonda ni cucuq kesukaan ayah saya. Jadi selalulah kami adik beradik dapat makan cucuq ni. Amat sedap dimakan sewaktu ianya masih panas. Kadang-kadang saya tak suka ianya digulung. Lepas masak je terus masukkan dalam pinggan dan makan. Hmm, terliaur dah ni. Hehe...

    Okeylah, kita terus sahaja ke resipinya.

    Bahan-bahan

    2 cawan tepung gandum
    2 cawan air
    secubit garam
    gula

    Cara-caranya
    1. Masukkan semua bahan kecuali gula ke dalam bekas. Kacau rata sehingga sebati. Kalau nak senang, masukkan kesemuanya ke dalam blender dan kisar. 
    2. Panaskan kuali, sapu sedikit minyak. Tuangkan sesenduk bancuhan tadi. Ratakan dengan menggunakan belakang senduk.
    3. Taburkan gula secukup rasa.
    4. Apabila masak, letakkan ke dalam pinggan dan gulung.
    5. Sedia untuk dihidang.
    Dah siap... senang sahaja kan. Sesuai untuk dimakan sewaktu sarapan pagi atau minum petang bersama keluarga tersayang. 

    Selamat Mencuba ^__^

    Friday, 16 May 2014

    Selamat Hari Guru, Terima Kasih Cikgu

    Teks: Masitah Samsudin
    Foto: Carian Google & Koleksi Peribadi


    Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

    Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua guru-guru, ustaz-ustazah dan pensyarah-pensyarah tak kira di mana sahaja anda berada. Terima kasih atas segala didikan, tunjuk ajar dan segala ilmu yang telah dicurahkan buat anak bangsa. Sesungguhnya, jasa dan baktimu amat besar, tidak ternilai harganya. Hanya ucapan terima kasih yang mampu kami ucapkan, hanya kejayaan yang mampu kami hadiahkan.


    Wah, terasa formal sangat kan. Bila bercerita tentang hari guru, saya teringat kenangan zaman persekolahan. Masa di SKTS, saya suka sangat dengan Cikgu Salmah iaitu guru kelas masa saya darjah tiga. Beliau seorang guru yang sangat baik dan suka berjenaka.

    Masa di SMSP pula, saya suka Cikgu Rosmaria. Cikgu ni glamer tau kat sekolah. Saya rasa semua murid pun sukakan dia. Dia cantik dan manis, tinggi, boleh jadi model. Hehe... Dulu masa sekolah, pernah bagi hadiah bunga semasa hari guru.

    Masa kat SMS pula, saya sukakan Cikgu Badrul. Dia macam bapa-bapa sikit. Penyayang tapi pernah merajuk sekali dengan kita orang. Masa tu kalut kami pilih sorang wakil untuk pujuk dia. Hehe... kelakar sungguh. Tapi bila teringat balik memang manis kenangan waktu itu.

    Bila masuk USM jer, saya suka sangat sebab ada sorang pensyarah tu yang memang sudah lama saya kagumi. Dan yang paling tak sangka, saya ada ambil paper dia. Wah, memang best lah. Boleh jumpa selalu. Nama dia Dr. Noriah Taslim. Saya suka tengok dia masa dia beri kuliah, suara dia sedap. Serak-serak basah sikit. Memang skor lah paper dia. Assignment pun dapat A+. Pernah juga saya tak masuk kelas tutorial, bila masuk kelas minggu berikutnya tu dia sengaja tanya soalan kat saya kemudian siap kata, "kita suruh Masitah jawab, dah la dia tak masuk kelas minggu lepas." Amboi, jangan ingat pensyarah tak perasan ketidakhadiran kita tau :)

    Bila dah bekerja, bos pun boleh dianggap sebagai guru. Jadi saya nak ucap berbanyak terima kasih kepada ex-bos dan bos-bos saya terutamanya Major, Plomena, CH Wong dan Kak Azura Abdullah sebab banyak ajar saya, bimbing saya, bantu saya dan selalu marah saya bila saya buat salah. Sebab selalu kena marahlah saya jadi sebijak ini :P

    Yang paling tak disangka, fasa terbaru dalam hidup, saya kembali menjadi seorang pelajar. Saya merasa amat teruja nak ucapkan Selamat Hari Guru buat guru saya Puan Mazlia Murat. Terima kasih kerana sudi mencurahkan ilmu buat saya. Bimbinglah saya agar berjaya menjadi seperti anda, berjaya menggapai impian nan satu. Jangan marah kalau saya lambat belajar, lambat siapkan tugasan, lambat reply mesej, lambat response... nak buat macamana... memang saya yang bersalah... hehe.. Apapun, terima kasih banyak-banyak. Jasamu amat kuhargai!

    Dan kini tibalah masanya giliran my princess & twin pula untuk mencipta seribu satu kenangan di hari guru. Kelmarin dia orang dah siap senaraikan nama guru, katanya nak beri hadiah semasa sambutan hari guru pada hari Ahad nanti. Semestinya guru-guru kegemaran menjadi pilihan. Hadiah pun saya dah beli, hadiah kecil dan comel. Hehe..saya pula yang teruja lebih. Apapun, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru SKSU dan SMKTHT. Jasamu tetap dikenang.



    Guru: Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi.
    Selamat Hari Guru... Terima Kasih Cikgu.

    Wednesday, 14 May 2014

    Heavenly Milo & Oreo Pudding

    Teks: Masitah Samsudin
    Foto: Facebook dan Koleksi Peribadi
    Sumber: https://www.facebook.com/ResepiPastry


    Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

    Hari ini Segmen Kuali & Senduk Kayu As: Syoknya Memasak ingin berkongsi resepi ringkas dan sedap iaitu Heavenly Milo & Oreo Pudding. Kalau kita tengok gambar di atas, memang terliur kan. Jadi apa kata kita pakat-pakat cuba buat. Saya berani jamin ianya memang mudah dan sedap sangat. Sesuai untuk minum petang atau berbuka puasa. Eh, tetiba cakap pasal buka puasa. Okey lah tu kan, kita simpan dulu resepi untuk berbuka puasa memandangkan Ramadan hampir menjelma.

    Senang sahaja nak buat dan bahan-bahan pun mudah didapati. Jom kita tengok resepinya.

    Bahan-bahan:

    1 bungkus agar-agar
    750ml air
    2 helai daun pandan.
    160g gula pasir
    1 tin susu cair
    Milo secukupnya
    1 bungkus (137g) biskut Oreo Blueberry - patah-patahkan tetapi biarkan sandwic 2 lapis

    Cara-cara:
    1. Masak agar-agar dan air sehingga larut. Masukkan daun pandan.
    2. Masukkan gula dan masak sehingga gula larut.
    3. Masukkan susu cair dan kacau sebati sehingga mendidih.
    4. Asingkan 2 cawan ke dalam periuk yang lain. Campurkan dengan milo dan kacau sehingga sebati. 
    5. Tuangkan 1 cawan campuran milo ke dalam acuan. (Panaskan campuran milo yang selebihnya dengan api yang paling kecil supaya tidak membeku.)
    6. Apabila permukaannya mengeras sedikit, tuangkan kesemua adunan putih tadi. Taburkan biskut oreo.
    7. Apabila permukaannya mengeras, tuangkan baki adunan milo tadi.
    8. Biarkan membeku di suhu bilik sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.
    Tip untuk melapis
    1. Jangan tunggu sehingga lapisan membeku sepenuhnya sebab takut lapisan tidak melekat.
    2. Jika lapisan bawah membeku, guriskan permukaan dengan garfu sebelum menuangkan lapisan yang seterusnya.
    3. Pastikan adunan masih panas apabila menuang ke atas lapisan sebelumnya supaya ia melekat dengan baik.


    Okey, selesai sudah. Senang sahaja kan. Dan untuk pengetahuan semua, resepi ini diambil daripada facebook/ResepiPastry. Jadi saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada ResepiPastry kerana berkongsi resepi yang amat lazat. Anda semua bolehlah layari facebook ResepiPastry untuk mendapatkan resepi-resepi enak yang lain.

    Selamat Mencuba ^___^

    Tuesday, 13 May 2014

    Selamat Hari Ibu 11 Mei 2014

    Teks: Masitah Samsudin
    Foto: Koleksi Peribadi dan Carian Google


    Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

    Rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Ibu buat semua ibu-ibu mithali walau di mana sahaja anda berada. Pastinya tarikh keramat 11 Mei 2014 disambut dengan penuh kegembiraan dan kasih sayang yang tiada nilainya. Rata-rata saya melihat rakan-rakan berkongsi suasana kegembiraan bersama ibu tersayang di pelbagai media sosial terutamanya di facebook dan instagram. Alhamdulillah, semoga kegembiraan ini berpanjangan.

    Bagi mereka yang masih mempunyai ibu, hargailah ibu anda setiap masa. Gembirakan hatinya sebagaimana mereka mengembirakan hati kita. Jangan disakiti hatinya kerana setitik air mata ibu menitis kerana terluka dengan perbuatan kita, sepuluh keberkatan akan hilang. Ibu tidak pernah meminta wang berjuta, jauh sekali intan permata, yang diharapkan hanyalah doa dari anak yang soleh. Ingatlah, syurga seorang anak terletak di bawah tapak kaki ibunya. Redha Allah s.w.t tertakluk kepada redha seorang ibu. Wallahualam.

    Dan seandainya ibu kita telah tiada, perbanyakkanlah doa untuknya. Sedekahkanlah Al-Fatihah untuknya setiap pagi dan malam atau setiap kali selepas menunaikan solat fardhu. InsyaAllah, ibu akan tenang dan damai di sana.

    Puisi Buat Ibu.

    Ibu
    Kasih sayangmu tidak ternilai
    Menjaga, mendidik dan membelai
    Setiap saat setiap masa engkau di sisi
    Menemaniku dalam apa jua situasi.

    Ibu
    Engkaulah satu-satunya
    Permata yang amat berharga
    Doamu sentiasa kupinta
    Demi perjalanan menuju ke syurga.

    Ibu
    Terima kasih kuucapkan
    Atas segala pengorbanan
    Jasa dan baktimu akan kukenang
    Selagi hayat dikandung badan.

    Ibu
    Engkaulah ratu hatiku
    Bila kuberduka
    Engkau hiburkan selalu
    Ibu, ibu... engkaulah ratu hatiku.

    Terima kasih ibu.

    Selamat Hari Ibu ^___^