Tuesday 13 May 2014

Selamat Hari Ibu 11 Mei 2014

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi dan Carian Google


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Ibu buat semua ibu-ibu mithali walau di mana sahaja anda berada. Pastinya tarikh keramat 11 Mei 2014 disambut dengan penuh kegembiraan dan kasih sayang yang tiada nilainya. Rata-rata saya melihat rakan-rakan berkongsi suasana kegembiraan bersama ibu tersayang di pelbagai media sosial terutamanya di facebook dan instagram. Alhamdulillah, semoga kegembiraan ini berpanjangan.

Bagi mereka yang masih mempunyai ibu, hargailah ibu anda setiap masa. Gembirakan hatinya sebagaimana mereka mengembirakan hati kita. Jangan disakiti hatinya kerana setitik air mata ibu menitis kerana terluka dengan perbuatan kita, sepuluh keberkatan akan hilang. Ibu tidak pernah meminta wang berjuta, jauh sekali intan permata, yang diharapkan hanyalah doa dari anak yang soleh. Ingatlah, syurga seorang anak terletak di bawah tapak kaki ibunya. Redha Allah s.w.t tertakluk kepada redha seorang ibu. Wallahualam.

Dan seandainya ibu kita telah tiada, perbanyakkanlah doa untuknya. Sedekahkanlah Al-Fatihah untuknya setiap pagi dan malam atau setiap kali selepas menunaikan solat fardhu. InsyaAllah, ibu akan tenang dan damai di sana.

Puisi Buat Ibu.

Ibu
Kasih sayangmu tidak ternilai
Menjaga, mendidik dan membelai
Setiap saat setiap masa engkau di sisi
Menemaniku dalam apa jua situasi.

Ibu
Engkaulah satu-satunya
Permata yang amat berharga
Doamu sentiasa kupinta
Demi perjalanan menuju ke syurga.

Ibu
Terima kasih kuucapkan
Atas segala pengorbanan
Jasa dan baktimu akan kukenang
Selagi hayat dikandung badan.

Ibu
Engkaulah ratu hatiku
Bila kuberduka
Engkau hiburkan selalu
Ibu, ibu... engkaulah ratu hatiku.

Terima kasih ibu.

Selamat Hari Ibu ^___^

No comments:

Post a Comment