Tuesday, 14 December 2021

Manuskrip BKH Jodoh Cinta Sudah Hantar

Teks: As Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.



28 November 2021.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt yang memudahkan segala urusanku.

Setelah berhempas-pulas memerah otak akhirnya karya terbaru saya telah menemui titik nokhtah. Karya cinta yang akan dimuatkan dalam buku Antologi BKH Jodoh Cinta 2022.

Sebelum ini memang suka memuat naik status yang berbunga-bunga cinta tapi bila kena tulis karya berdasarkan kisah jodoh pertemuan #Asaliff, jenuh juga nak susun kata-kata.

Pada mulanya cemas juga bila mengingatkan tarikh penghantaran karya yang semakin hampir iaitu pada 26 November (tarikh asal) sedangkan karya bukan sahaja belum siap sepenuhnya bahkan pening dengan proses editing. 

Manakan tidak, baru separuh jalan menaip jumlah patah perkataan sudah melimpah ruah. Memang pening nak edit tu.

Tapi alhamdulillah, mak Sri Diah memang seorang yang amat memahami gelodak jiwa anak-anaknya. Dek kerana sayang, mak lanjutkan juga tarikh sehingga 28 November. Terima kasih mak yang cantik jelita.

Akhirnya berjaya juga siapkan karya jodoh cinta Pelari Misteri dan Turtle Runner. Dan alhamdulillah dapat juga hantar mengikut masa yang telah ditetapkan. 

Lega.

Nantikan kisah #Asaliff dalam Antologi BKH Jodoh Cinta 2022.

Jumpa lagi.

Friday, 10 December 2021

Semester 002 Universiti Inspirasi Kisah Hidup (UniKH)

Teks: As Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Masa semakin galak mencemburui kita.

Pantasnya masa berlalu. Sedar tak sedar Semester 002 Universiti Inspirasi Kisah Hidup (UniKH) telah berjalan selama dua bulan.

Kuliah satu hingga kuliah 18 telah pun selesai. Masya-Allah, terlalu banyak ilmu yang telah dicurahkan oleh pensyarah-pensyarah hebat UniKH bersama Rektor kesayangan, Mak Sri Diah Shaharuddin.

Ironinya, setiap kali bermulanya perjalanan penulisan buku antologi kisah hidup, ketenangan emosi saya berkocak. Dengan keadaan persekitaran yang tidak membantu, banyak kerja-kerja penulisan yang tertangguh.

Major renovation untuk Rumahku Syurgaku. Dahulu, semasa penulisan manuskrip Legasi Abah, kerja-kerja pengubahsuaian berlaku di bahagian belakang. Dan kini, selepas PKP, kerja-kerja pengubahsuaian bersambung pula di bahagian hadapan.

Banyak urusan yang menuntut perhatian. Bukan saja dari segi pemilihan kontraktor bahkan saya turut terlibat secara langsung dalam pemilihan bahan dan rekabentuk rumah idaman. 

Mana nak buat design tingkap, nak pilih pintu, nak pilih lantai jubin, siling, dan yang paling teruja adalah proses perincian rekabentuk untuk mini perpustakaan saya.

Kepenatan fizikal berjangkit ke mental. Apa taknya, penuh satu rumah dengan habuk dan debu. Dunia saya hanya di dapur dan bilik. Hidup bagaikan merempat.

Jiwa kacau!

Namun, dalam kesibukan yang bukan sedikit, saya bersyukur kerana masih mampu mengikuti semua kuliah yang telah ditetapkan. Walaupun ada kalanya wujud video-video nakal hasil intipan suami, namun saya tetap setia di kerusi sehingga kuliah selesai.

Perjalanan Semester 002 saya dalam mood berbunga-bunga. Tema BKH Jodoh Cinta membuatkan hati bercanda seirama. Teruja kerana berpeluang untuk menggarap kisah cinta terindah anugerah daripada Yang Esa. Kisah cinta Asaliff yang penuh dengan seribu satu cerita suka duka.

Nantikan kisah #Asaliff dalam Antologi BKH Jodoh Cinta 2022.

Jumpa lagi.