Foto: Carian Google
[BAB 2]
Zakuan melihat jam di dinding. Sudah pukul 6:30 minit petang. Dia teringatkan janjinya untuk makan malam bersama ibu kesayangannya di rumah. Zakuan pantas mengemas meja kerjanya. Dia harus segera beredar. Tiba-tiba dia rasa rindu dengan masakan ibunya. Sedang dia berjalan melintasi ruang pejabatnya, dia terdengar bunyi ketukan papan kekunci. Dia cuba mengintai, dilihatnya Emylia sedang kusyuk menaip sesuatu. Matanya terpandangkan fail-fail yang setia di sisi. Zakuan tersenyum panjang, tercuit dengan kepatuhan Emylia. Dia meneruskan langkahnya dengan senyap. Tidak mahu Emylia sedar akan kehadirannya.
Kurang dari 30minit, Zakuan sudah pun
memasuki pagar biru rumah ibunya. Aroma Ikan Patin Masak Tempoyak kegemarannya
menerobos memasuki rongga hidungnya. “Assalamualaikum, Ibu.” Zakuan terus ke
dapur mencari ibunya. Matanya tertancap pada periuk yang setia di atas dapur.
Zakuan membuka tudung. Dia berkira-kira untuk menyudu sedikit masakan tersebut.
“Zakuan.” Panggilan lembut Puan Zakiah
membantutkan hasratnya. Zakuan berpaling. Dia menyalami tangan ibunya sambil tunduk mengucup penuh kasih. “Buat apa tu?“ Soal ibunya penuh curiga. “Mana ada
apa-apa ibu. Zakuan cuma nak tengok, dah siap ke belum masakan ibu ni.” Zakuan
tersengih memandang ibunya. Puan Zakiah cuma menggeleng-gelengkan kepala. Masak
benar dia dengan perangai anak terunanya itu. “Sudahlah tu. Pergi mandi dulu.
Lepas solat baru kita makan sama-sama.”
Zakuan beredar ke biliknya. Dia merebahkan
badannya sebentar, melonggarkan urat-urat yang seharian bekerja keras.
Tiba-tiba matanya tertancap pada sekeping potret yang indah menghiasi ruang
kamarnya. Zakuan lantas mencapai potret tersebut. Dia merenung indah mata
bundar itu. Mata yang menyimpan seribu satu duka lara. Pandangannya bertukar
menjadi sayu. Dia membawa potret itu ke dadanya.
“Zakuan.” Panggilan Puan Zakiah
mengejutkannya. Cepat-cepat dia menyorok potret tersebut di bawah bantal.
“Sekejap ibu. Nanti Zakuan turun.” Zakuan terus berlari ke bilik air. Selesai
solat, dia terus turun ke bawah. Kelihatan Puan Zakiah sabar menantinya di meja
makan.
“Maaflah ibu. Zakuan berdoa panjang tadi.”
Helah Zakuan. “Oh, berdoa panjang rupanya. Ibu ingat anak ibu ni dah kenyang
merenung gambar buah hati.” Zakuan terbatuk-batuk kecil. “Ibu dah tahu?” Dia
pantas bertanya. Puan Zakiah tidak menjawab soalan Zakuan. Dia menyendukkan
nasi ke dalam pinggan mereka berdua. “ Ibu...” Zakuan kaget dengan kedinginan
ibunya.
“Doa cepat. Ibu dah lapar ni.” Balas Puan
Zakiah. Sengaja membiarkan Zakuan dengan teka-tekinya. Bukan dia tidak tahu
akan kehadiran gadis manis yang telah mencuri hati anaknya namun dia tidak mahu
terlalu mendesak. Lambat laun Zakuan pasti akan bercerita. Biarlah. Masanya
pasti tiba.
BERSAMBUNG.