Thursday, 26 June 2014

Kasih Yang Kudamba - Bab 1

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif

Latihan Penulisan: Tulis babak berdasarkan potongan ayat
[BAB 1]

“Siapa awak nak arah-arah saya?” Jerit Emylia sambil menghempaskan fail-fail ke meja Zakuan. Habis jatuh berterabur semua fail-fail itu. Malah kertas kerja yang sedang elok dibelek oleh Zakuan terpelanting ke lantai. Zakuan mengurut dada. Terkejut dengan reaksi di luar kawalan Emylia. “Hmm, nampaknya angin puting beliung dah melanda.” Zakuan bermonolog sendiri. Dia melihat Emylia bagaikan singa yang ingin menerkam mangsanya. Matanya bulat memandang Zakuan.

“Hey, you tak dengar ke apa I cakap? Atau you sememangnya dah pekak?” Jerkah Emylia. Dia menjadi bebal melihat tingkah Zakuan yang acuh tak acuh itu. Darah panas menyerbu ke mukanya yang putih melepak bagaikan anak dara tionghua. Emylia semakin bebal apabila Zakuan tidak mengendahkannya. Tangannya pantas mengambil sebatang pen dan melontarkannya tepat ke dahi Zakuan.

“Ouch,” Zakuan memegang dahinya. Fikirannya serta-merta kembali ke alam nyata. Retina matanya bertaut dengan sorotan mata Emylia. Panah menikam terus ke lubuk hatinya. Zakuan mendapat kekuatan, dia bangun menghampiri Emylia. Semakin lama, semakin dekat.

Emylia terkasima. Haruman Dunhill Blue mengingatkannya pada seseorang. Ah, tak mungkin dia! Emylia mengusir andaian yang bertandang. Dia lantas menjauh. Zakuan berdehem beberapa kali, membetulkan urat kerongkongnya.

“Emylia Hanna Tan Sri Ahmad Hamley.” Zakuan menyebut yakin nama penuh Emylia. Sebaris nama yang sering menghiasi mimpi-mimpinya. Emylia gugup. Terasa indah sekali di pendengarannya. Namun dia tidak membiarkan dirinya tewas dengan mainan Zakuan. Dia yakin, Zakuan pasti ingin memanipulasinya.

“Awak sedar tak awak sedang bercakap dengan siapa? Saya ketua awak. Dan sekarang saya arahkan awak untuk siapkan laporan yang saya minta. Saya tak mahu tahu bagaimana, apa yang saya mahu laporan itu siap di atas meja saya esok tepat pukul 9 pagi.” Emylia terkejut. Dia tidak menyangka Zakuan berani memarahinya. Dia melihat Zakuan memulas tombol pintu lantas bayangnya menjauh.

Emylia menahan rasa. Geram apabila lidahnya kelu untuk membalas kata-kata Zakuan. “Dan lagi satu...” Emylia mengurut dada. Terkejut dengan kemunculan semula Zakuan. “Kutip semua fail-fail itu. Dan kemas balik meja saya!” Zakuan bersuara tegas.

Emylia semakin berang. Hey, dia ingat aku ni makcik cleaner ke apa. Tak boleh jadi ni. Emylia terus menghadang laluan Zakuan. Dia menolak tubuh Zakuan ke tepi. “Encik Zakuan, awak dengar sini baik-baik. Ya, awak ketua saya. Tapi awak jangan ingat awak ketua, awak boleh senang-senang nak arah saya. Ingat sikit, awak cuma makan gaji jer kat sini. Gaji awak pun papa saya yang bayar tau. Dan... rasanya awak tak lupa... nama saya Emylia Hanna Tan Sri Ahmad Hamley!”

Emylia berjalan keluar penuh gaya. Dia merasa puas. Hah, ambik kau Zakuan. Jangan ingat senang-senang kau nak buli aku. Emylia melabuhkan duduk. Cubicle kecil yang menempatkan dirinya dipandang sepi. Apalah malangnya nasib dia, sudahlah hanya diberi jawatan ciput di syarikat papanya, duduk pula di ruang pejabat yang jauh tersorok ke belakang sebaris dengan kerani bawahan, dan sekarang... dilonggokkan pula dengan kertas kerja yang memeningkan kepala. Ada ke patut Zakuan suruh aku menelaah semua fail-fail tu. Dia ingat aku nak ambik periksa ke apa. Emylia menggerutu dalam hati.

Emylia merupakan anak tunggal Tan Sri Hamley, pewaris Hamley Holding. Namun entah di mana silapnya, dia hanya diberikan jawatan sebagai pembantu. Papanya mahu dia belajar dari bawah, kenali semua pekerja dan kuasai selok belok perniagaan dahulu. Satu alasan yang tidak boleh diterima akal warasnya. Apa gunanya belajar sampai luar negara jika hanya nak jadi pembantu. Setakat SPM pun dah cukup. Emylia mendengus keras.

“Maaf Cik Emylia, Encik Zakuan minta saya serahkan semua fail-fail ini kepada Cik Emylia.” Azrin, setiausaha Encik Zakuan melemparkan senyum manis menampakkan lesung pipitnya. Emylia membulatkan mata. “Ini fail-failnya. Encik Zakuan pesan nakkan laporan itu esok pagi.” Belum sempat Emylia berkata, Azrin sudah pun menghilangkan diri. Ah, bos dan setiausaha sama sahaja. Dua-dua pun tak sedar diri. Emylia menahan hiba. Dia mencapai fail yang tertulis perkataan SULIT. Dia menyelak-nyelak halaman, meneroka isi kandungan, lantas menghidupkan komputer ribanya. Tangannya laju menaip. “Jaga kau Zakuan, ada ubi ada batas, esok juga aku balas!”

BERSAMBUNG...


[Kasih Yang Kudamba - Bab 2]
[Kasih Yang Kudamba - Bab 3]
[Kasih Yang Kudamba - Bab 4]
[Kasih Yang Kudamba - Bab 5]

No comments:

Post a Comment