Wednesday, 23 April 2014

Bahang PBAKL 2014

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Facebook


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bahang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 kali ke 33 semakin terasa. Hanya tinggal kurang dari 24 jam sahaja lagi sebelum bermulanya pesta buku yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh pencinta buku seluruh negara. Kali ini seluruh penerbit buku akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur selama sebelas hari bermula 24 April - 4 Mei 2014. Lebih lama daripada biasa, ganti balik untuk tahun lepas yang terpaksa dipendekkan kerana pilihanraya. Pastinya pesta kali ini akan menjanjikan kemeriahan yang luar biasa.

Sebelum ke PWTC, saya pasti pembaca semua sudah pun membuat persiapan yang sewajarnya. Dah tengok jadual kehadiran penulis, senarai buku terbaru yang akan dilancarkan dan apakah program-program menarik yang bakal berlangsung sempena pesta buku kali ini. Dan yang paling penting sekali, pastinya kita sudah pun mendapat informasi tentang pakej-pakej diskaun yang menarik yang ditawarkan oleh semua penerbit buku yang terlibat.

Jadi, jom ramai-ramai kita memeriahkannya. Untuk mendapatkan informasi terkini, bolehlah layari blog D' Rauna Gallery atau baca link di bawah.



Learning Is Fun T__T

Tuesday, 22 April 2014

Jom Undi Top 5 AGBK 2013

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Facebook dan Koleksi Peribadi


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Malam ni cuaca sedikit sejuk. Hujan renyai-renyai di luar. Bukan hanya hari ini sahaja malah hari-hari sebelumnya. Musim hujan telah pun bermula. Hujan yang membawa seribu rahmat buat semua makhluk di muka bumi ini. (Wah, melalut sikit intro kali ini. Sebenarnya nak sambung lagi...)

Sedang asyik merehatkan diri, tiba-tiba mataku tertancap pada helaian kertas surat khabar Sinar Harian yang sedang elok bersemayam di atas singgahsana sofa rekliner dari Cavenzi. Oh, keratan surat khabar untuk Anugerah Grup Buku Karangkraf 2013 (agbk 2013) rupanya. Mesti pembaca di luar sana pun sedang sibuk mengundi novelis-novelis kesayangan kamu semua kan.


Ada lima bahagian yang dipertandingkan dalam agbk 2013 iaitu Penulis Pilihan, Buku Pilihan, Penulis Harapan, Adaptasi dan Cover Pilihan. Penulis Pilihan dan Buku Pilihan memperlihatkan persaingan yang amat sengit. Memang nak kena pilih betul-betul, fikir betul-betul, baru boleh tanda. Jadi, apa tunggu lagi. Jom sama-sama kita undi finalis TOP 5 yang sememangnya hebat-hebat belaka. Manalah tahu kalau-kalau murah rezeki kita boleh dapat wang tunai. Bukan itu sahaja, kita juga berpeluang untuk menghadiri majlis anugerah ini yang dijangka akan berlangsung pada Jun nanti. Best kan?!

Pada yang masih belum mendapatkan borang, jangan risau. Anda boleh mendapatkannya di akhbar Sinar Harian. Masih ada masa lagi sebab anda boleh mengundi sehingga 11 Mei 2014. Okeylah, untuk maklumat lanjut boleh baca link di bawah.

http://draunagallery.blogspot.com/2014/04/anugerah-grup-buku-karangkraf-2013.html

Selamat Mengundi.

Learning Is Fun T__T

Monday, 21 April 2014

Jemputan Khas Daripada Novelis Siti Rosmizah

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sekadar berkongsi keterujaan. Inilah dia kad jemputan khas daripada novelis popular Siti Rosmizah untuk saya menghadiri Majlis Pelancaran Novel Siti Rosmizah yang akan diadakan pada 26 April 2014 di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Majlis ini bertemakan Otai Terus Berbisa.

Pada majlis itu nanti, beliau akan melancarkan novel terbarunya yang berjudul Cukup Derita Itu. Novel ke-7 ini turut membawa tema cinta yang sememangnya menjadi trademark untuk hasil karyanya. Saya pun dah tak sabar nak baca novel ni. Dari tajuknya sahaja kita dah tahu terdapat konflik yang pasti mengundang air mata.

Jadi, sama-sama kita tunggu novel Cukup Derita Itu yang akan dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 di PWTC.

Jumpa di sana. InsyaAllah :)

Monday, 14 April 2014

Segmen Kuali & Senduk Kayu As

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Tiba-tiba sahaja saya tukar nama untuk Segmen Kuali & Senduk Kayu As: Resepi ringkas tapi lazat untuk hot mommy bekerjaya kepada nama baru yang lebih pendek dan senang diingat. Nama baru untuk segmen ini ialah Kuali & Senduk Kayu As: Syoknya Memasak. Mungkin caption `syoknya memasak' dah common sangat tapi saya tak kisah. Yang penting saya suka dan selesa. Wah, aiman tak kisah yer! :)

Kenapa saya tukar nama segmen ini? Mnm...nama sebelum ni panjang sangatlah. kurang sesuai gitu. Nama yang pendek lebih komersil. Ahaks. Dan mungkin ada juga yang nak tahu, mana resepinya. Ha, ni nak bagitahulah ni. Memang setiap kali saya memasak, saya akan ambil gambar untuk berkongsi dengan anda semua. Tapi mungkin belum rezeki lagi, semua gambar tu dah hilang dari telefon saya. Sebab itulah segmen ni belum bermula.

InsyaAllah, lepas ni kita kongsi yer. Sebab sekarang ni semangat tu dah datang balik.

Okeylah, ini link untuk post sebelum ni yang dah dikemaskini.
http://iammasitahsamsudin.blogspot.com/2014/02/kuali-senduk-kayu-as-resepi-ringkas.html

Jumpa nanti.

Learning Is Fun T__T

Friday, 11 April 2014

Selamat Hari Lahir Beb....

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google


Dalam kedinginan pagi
Alarm ku tetiba berbunyi
Diiringi alunan muzik lembut
Membisikkan hari yang indah

Masanya telah tiba
Umurmu beralih angka
Menandakan semakin hari
Semakin kita berbeza

Selamat hari Lahir you...
Semoga bahagia selalu
Panjang umur murah rezekimu
Nanti boleh share dengan diriku

Tiada apa yang kupinta
Hanya sedikit kasih sayangmu
Tiada dusta tiada sengketa
Hanya gelak tawa dan manja

Biar ribut mendatang
Biar dunia bergoncang
Usah diragu usah dibimbang
Aku kan tetap teguh di belakang

Dari jauh kupohon doa
Moga Dia terus memelihara
Persahabatan ini kekal bahagia
Mekar sentiasa abadi selamanya.

Terima kasih untuk pertama kalinya
Moga kau tahu aku setia
Menemanimu hingga ke akhirnya
Biarpun jarak memisahkan kita.

Selamat hari lahir Beb...

11 April 2014
Jam1410
P/S: Istimewa nukilan dari hati buat 'Dia' yang menyambut hari lahir hari ini. 

Sekian. 


Thursday, 10 April 2014

Corat-Coret Di Hari Khamis

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini rasa terpanggil pula nak update blog tapi belum ada idea nak tulis apa. Kepala terasa berat, sarat dengan beban fikiran. Namun, tidak terluahkan dengan kata-kata. Hati terasa ingin menulis...ingin meluahkan...tapi nak tulis apa yer..? Nak luahkan apa yer..?

Hmm...bila difikirkan balik, ada banyak benda yang boleh dikongsikan di sini. Sebab ada banyak info yang kawan-kawan minta tapi tak sempat nak share lagi. Ada yang minta resepi, ada yang minta iltinerary cuti-cuti saya sebelum ini, bahkan ada juga yang minta saya share tempat makan yang best kat Kulim ni.

Kalau nak cakap pasal tempat makan yang best kat Kulim ni, alahai...tak tau la yang mana best. Saya jarang makan kat luar. Kalau sekali-sekala nak pi makan pun tak tau nak makan kat mana. Sebab semuanya tak menepati selera. Saya suka makan...so kalau nak makan sedap-sedap maknanya kena masak sendiri lah. Hehe...Alamak, melalut pulak! Marah pengusaha-pengusaha restoran kat Kulim ni nanti bila saya kata semuanya tak best. Bukan macam tu, ada juga yang best, nanti kita share yea.

Anyway, ari ni dah Khamis. Tinggal satu hari jer lagi nak kerja untuk minggu ni. So apa plan uolls weekend ni? Kalau nak pergi mana-mana tu, jangan lupa kunci pintu, kunci tingkap, kunci pagar dan kunci semuanyalah yang perlu dikunci. Bukan apa, dua tiga hari kebelakangan ni ada rakan sekerja yang cerita rumahnya kena pecah. Habis semua barang dilarikan. Satu taman dengan saya pulak tu. Then sorang lagi kawan cerita minggu lepas dia pergi KL, kereta yang ditinggalkan di rumah kena curi. Satria GTI u... Hai..macam-macam hal sekarang ni. Risau pulak saya memikirkannya.

Oleh itu kawan-kawan semua, jaga diri, jaga keluarga, jaga rumah :)

Sampai berjumpa lagi. Bye.

Learning Is Fun T__T

Wednesday, 9 April 2014

Review E-Book#2: E-Book Rautan Takdir - Monalita Mansor

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian google


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

 
Kompilasi Cerpen Rautan Takdir karya Monalita Mansor merupakan kumpulan cerpen yang bertunjangkan tema kasih sayang sesama manusia. Kesemua cerpen yang dimuatkan memberi 1001 pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dan panduan dalam kehidupan. Terdapat 15 cerpen di dalam e-book ini.

Hijrah Kasihmengisahkan tentang hubungan dua sahabat, Dung & Nyet yang akhirnya bersatu dalam ikatan perkahwinan. Walaupun ikatan yang terjalin adalah secara tiba-tiba tanpa rasa cinta namun mereka tetap hidup secara harmoni demi persahabatan yang telah lama terbina. Lama-kelamaan, terdetik rasa cinta di hati Nyet buat isterinya itu. Namun, belum sempat meluahkan rasa cinta takdir telah memisahkan mereka. Nyet telah pergi selama-lamanya. Tinggallah Dung bersama sekeping nota cinta si suami yang akhirnya menyedarkannya bahawa Nyetlah insan yang dicintai sepenuh hati.

Kisah ini banyak berkisar tentang dua watak utama. Ia dimerikan dengan baik sekali sehingga berjaya mengundang rasa sedih di hati pembaca. Plotnya ditulis secara naratif dan sedikit sentuhan imbas kembali dimasukkan. Ia memudahkan pembaca mengikuti kisah ini hingga ke klimaks. Peleraiannya memberi kesedihan kepada pembaca.

Si Pemuda Tampancerpen ini menunjukkan bahawa penulis mempunyai daya imaginasi dan daya kreativiti yang tinggi. Saya tidak dapat memahami dan menterjemahkan cerpen ini melalui pembacaan pertama. Setelah dibaca berulang kali barulah saya dapat memahami kisah tersebut. Ia ditulis secara pemerian menggunakan sudut pandangan orang pertama. Penulis menggunakan watak `saya’ dan penceritaannya tertumpu kepada watak itu sahaja. Ia bertemakan aspek ketuhanan dan membawa nilai-nilai murni yang merupakan nasihat secara tersirat kepada pembaca. Cerpen ini mempunyai nilai standardnya yang tersendiri dan mampu membuatkan pembaca berfikir dan terus berfikir.

Kesasar Dalam Terangmengisahkan tentang Hani yang bergantung harap kepada ibunya untuk menjaga anaknya yang masih kecil. Tanpa disedari, dia bukan sahaja menjadikan ibunya pengasuh bahkan juga sebagai orang gaji di rumahnya sendiri. Ibunyalah yang melakukan semua kerja rumah termasuk membasuh pakaian, mengemas dan memasak. Bukan itu sahaja. Hani sering bersikap kasar dan melepaskan kemarahan terhadap ibunya. Akibatnya, Hani mengalami gangguan saka.

Sebuah kisah yang menarik dan berkisar tentang fenomena yang banyak terjadi dalam kehidupan kita masa kini. Banyak teladan yang boleh diambil daripada kisah ini. Antaranya ialah kepentingan kita sebagai anak untuk menghormati ibu dan meletakkannya di tempat yang paling tinggi. Gangguan saka dilihat sebagai satu hukuman buat Hani kerana tidak menghormati ibunya. Dan apabila Hani masih sakit walaupun telah berubat ditonjolkan oleh penulis untuk memberi gambaran bahawa redha seorang ibu amat penting untuk mendapat keredhaan dari-Nya. Di samping memberikan teladan kepada pembaca, penulis juga turut berkongsi ilmu tentang cara menangani gangguan saka. Ia boleh dijadikan panduan bagi mereka yang mengalami masalah ini.

Apa Saja Mahumumengisahkan tentang pertemuan dua kenalan lama di sebuah majlis. Sepanjang pertemuan itu mereka saling mengimbas kembali memori zaman persekolahan. Si jejaka kelihatan dapat mengenali si gadis dengan baik sekali. Berlainan dengan si gadis yang tidak dapat mengimbas identiti si jejaka kerana perubahan penampilan yang seiring dengan kematangan diri. Pertemuan itu tidak hanya habis di situ tetapi berlanjutan pabila si jejaka berhasrat membawa si gadis untuk diperkenalkan kepada anak-anaknya. Si Gadis akhirnya jatuh hati pada si jejaka sejurus dibawa ke Rumah Kasih Sayang Dan Cinta. Lamaran hati dari si jejaka menguatkan segala rasa yang ada.

Cerpen ini bertemakan cinta dan digarap dengan menggunakan gaya bahasa yang amat puitis. Dari awal hingga akhir ia menggunakan bahasa yang berbunga-bunga sesuai dengan tema yang ingin ditonjolkan oleh penulis.

Teh SegelasMengisahkan tentang seorang gadis yang sering mengunjungi gerai di tepi jalan di kampungnya. Boleh dikatakan setiap pagi dia akan ke gerai tersebut untuk menikmati roti canai dan teh tarik. Rutin hariannya itu telah menimbulkan kesangsian dan kerisauan di hati ibunya. Ibunya berprasangka bahawa dia telah jatuh hati pada penebar roti canai tersebut. Andai benar, alangkah risaunya hati mengenangkan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. Baginya, seorang penebar roti canai tidak akan mampu untuk menyara keluarga, memberi nafkah dan menyediakan keperluan secukupnya kepada anak dan isteri. Dia juga beranggapan bahawa Si Penebar Roti Canai tidak layak untuk bergandingan dengan anaknya yang bakal menjadi guru.

Penulis cuba mengetengahkan tema kerisauan hati seorang ibu sekiranya si anak jatuh hati pada orang yang tidak setaraf dengannya. Semua ibu memang inginkan yang terbaik untuk anaknya tetapi dalam hal ini, si ibu terlupa bahawa rezeki, jodoh dan ajal semuanya telah ditentukan sejak azali.     

Garisan Abdullahmemaparkan tema pilih kasih yang berlaku di dalam sesebuah keluarga. Abdullah Hashim yang tidak disukai oleh neneknya sejak dia kecil sampailah sekarang. Dia cuba meraih jawapan daripada ibunya namun hampa. Ibunya tidak dapat memberikan jawapan kepada persoalannya. Sebaliknya dia sering menasihati Abdullah tentang pentingnya untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjadi anak yang dibanggai oleh keluarga. Akhirnya Abdullah berjaya menjadi seorang doktor.

Perasaan ketidakpuasan hatinya terhadap layanan buruk yang diterima daripada neneknya membuatkan Abdullah menyimpan dendam sehingga menolak cadangan ibunya untuk merawat neneknya yang sakit. Perasaan kecewa masih menebal di dalam diri dan dia tidak dapat membuang perasaan tersebut yang telah lama sebati di dalam dirinya. Walaupun dipujuk berkali-kali oleh ahli keluarganya untuk memaafkan keterlanjuran si nenek namun hatinya masih berdegil.

Wasiat si nenek akhirnya berjaya mengusik hati lelakinya. Tembok keegoannya runtuh pabila matanya menjamah sekujur tubuh yang berselirat dengan wayar. Kemaafan lahir jauh di lubuk hatinya yang paling dalam.

Inilah Doa Inilah Pintamemaparkan tentang resah gelisah seorang isteri bila mana si suami mula panjang langkah. Judi dan snooker menjadi aktiviti harian. Waktu pulang dari kerja juga berubah, semakin lewat dan semakin banyak angka. Masanya banyak dihabiskan di luar, tidak ada waktu untuk keluarga. Apatah lagi waktu untuk bercampur dengan masyarakat setempat. Waktu cuti di hujung minggu hanya dihabiskan untuk tidur.

Sikap suami ini menimbulkan rasa cemburu yang tidak bertepi di hati isteri. Pelbagai prasangka buruk menujah benak si isteri. Macam-macam hal yang dirisaukan, pelbagai andaian buruk bermain di kepala. Apatah lagi si suami sering berceritakan tentang tukang cuci Indonesia yang bekerja di pejabatnya. Semakin risau dia seandainya kasih suami beralih arah.

Hal ini merupakan sesuatu yang biasa di dalam masyarakat hari ini. Suami yang lalai terhadap tanggungjawab menyebabkan isteri makan hati sehingga terlanjur kata mendoakan yang buruk-buruk. Kisah ini memberi banyak pengajaran kepada pembaca.

Menguak Tirai Itumemaparkan tema cemburu seorang isteri terhadap madunya. Diceritakan `aku’ iaitu seorang penjaga tandas awam telah bertemu dengan seorang perempuan muda yang masih dalam pantang. Keadaannya tidak terurus dan kelihatan dalam keadaan tertekan yang amat sangat. Setelah diselidiki, ibu muda itu sebenarnya merasa tertekan dengan sikap suami yang telah mengabaikannya. Di saat isteri muda berperang dengan waktu pantang bersalin, si suami tiada di sisi dan menghabiskan masa di rumah isteri tua. Cemburu isteri muda sehingga mengabaikan kesihatan diri dan kebajikan bayi yang baru dilahirkannya.

`Aku’ merasa simpati dengan nasib ibu muda ini. Dia memberi nasihat dengan menceritakan kisahnya yang cemburukan isteri nabi. Penulis memasukkan kisah Saidatina Aisyah untuk menguatkan lagi cerita dan memberi pengajaran serta panduan untuk isteri-isteri di luar sana yang berpoligami dan mengalami masalah sebegini.

Seanggun Capsicummengisahkan tentang keakraban tiga orang sahabat yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Walaupun berlainan jantina dan agama namun hubungan mereka erat dan saling berkongsi apa sahaja cerita. Usik-mengusik dan berjauh hati sesama mereka sudah menjadi lumrah dan menceriakan lagi persahabatan yang terjalin.

Namun di sebalik persahabatan yang terjalin, ada perasaan lain yang mengusik hati antara si jejaka dan gadis bernama Shufarina. Perasaan itu dikuatkan lagi dengan adegan rajuk-merajuk antara keduanya. Sungguh comel sekali cinta di kalangan budak-budak sekolah. Santai dan menghiburkan.

Lirih Doa Untuk Diasebuah kisah cinta penuh syahdu di antara Zainab, anakanda Rasulullah SAW dan suaminya, Abul’ Ash. Cinta mereka terpisah kerana perbezaan agama, namun kasih sayang antara mereka tetap utuh di hati kedua-duanya. Zainab yang patuh pada ayahandanya dan agamanya manakala Abul’ Ash yang tegar menjaga kehormatan diri daripada cinta terhadap isterinya. Mereka akan dapat bersatu seandainya si suami memeluk Islam namun keengganannya itu menyebabkan mereka saling menanggung rindu yang menggunung. Perpisahan yang terjadi tanpa rela, cinta dan kesetiaan mereka tetap pada yang satu. Tidak berubah walau apa sahaja dugaan yang datang. Kisah kesantunan Rasulullah SAW semasa Abul’ Ash menjadi tawanan sering mengusik tangkai hatinya. Dan keluhuran hati Zainab juga telah menginsafkannya. Akhirnya hidayah telah memekar di hatinya dan lidahnya membasahkan kalimah syahadah.  

Penulis berjaya membuatkan pembaca menghayati kisah ini hingga ke akhirnya. Walaupun ianya berdasarkan kisah benar namun penceritaannya yang puitis amat menyayat hati pembaca.


Si Manissaya amat sukakan cerpen ini, saya suka dengan watak si suami dan perwatakan yang ditonjolkannya. Seorang suami yang baik dan berhemah. Cerpen ini mengisahkan tentang suami yang menerima si isteri seadanya walaupun sedar tentang kisah silam isteri yang tidak begitu baik. Si isteri pula sedar akan kedudukannya dan berusaha untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.


Entah kenapa saya sukakan setiap dialog antara mereka. Bicaranya puitis, penuh estetika. Memberi teladan buat suami isteri di luar sana.

Malasnya Matamengisahkan tentang dua orang guru yang prihatin dengan masalah anak-anak muridnya. Setiap perlakuan mahupun perubahan murid dapat disedari oleh mereka. Sebagai guru, mereka menganggap masalah murid adalah masalah mereka dan wajar diberi perhatian sebaiknya.

Zahirah, seorang pelajar yang berpotensi. Namun, sejak akhir-akhir ini dia berubah sikap. Perubahannya itu menimbulkan kebimbangan di hati Cikgu Zalifah.Pelbagai andaian difikirkan demi mencari punca perubahan tersebut. Pertemuan dengan ibu Zahirah menyimpulkan segala kekusutan yang ada. Tahulah mereka bahawa anak murid mereka itu mengalami masalah juling. Rasa bersalah menyelubungi diri Cikgu Zalifah dan dalam masa yang sama kagum dengan ketabahan diri anak muridnya itu.

Cerpen ini membawa mesej dan info tentang masalah juling. Peleraiannya amat menyentuh hati saya.

Syarat Ghasidah Segaraga – Cerpen ini mengambil ilham sempena cerita Tiga Abdul. Ianya agak berat dan sukar untuk saya fahami. Memaparkan rintihan sekeping hati seorang gadis kepada bakal suaminya sebelum mereka diijab kabulkan. Gaya bahasanya amat puitis dan penuh estetika.

Gulai Aya Untuk Ayah – cerpen ini bertemakan tentang dendam antara adik-beradik hanya kerana perbalahan tentang tanah getah yang menjadi perkongsian tanah pusaka. Ia juga memaparkan tentang kerinduan seorang suami terhadap isteri yang telah pergi selama-lamanya. Setiap yang dilakukan mengingatkannya pada isterinya itu. Perebutan tanah antara adik-beradiknya menambahkan kerinduannya terhadap isteri kerana selama hayatnya, dialah yang banyak menyabarkannya. Mujurlah ada anak-anak yang baik dan taat padanya. Sanggup bersusah-payah menyediakan masakan kegemarannya seperti masakan arwah ibu mereka. Manakala anak lelakinya pula mengambil berat tentang masalah ayah mereka dan berusaha untuk menyelesaikannya dengan cara yang amat berhemah.

Cerpen ini bercorak keislaman. Banyak ilmu yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.

Rautan Takdir - memaparkan kisah pertemuan dua orang kawan lama ketika usia menginjak usia emas. Persahabatan mereka sedari kecil amat rapat sehingga pernah menjalinkan ikatan pertunangan. Namun, telah tersurat bahawa tiada jodoh antara mereka berdua dan akhirnya mereka terpisah membawa haluan masing-masing.

Penulis menonjolkan teknik imbas kembali dalam menceritakan rentetan kisah hidup mereka. Kisah zaman persekolahan, zaman muda, akhirnya terpisah dan bertemu kembali di usia emas. Harapan mereka berdua agar bertemu jodoh pada masa akan datang, mungkin di alam sana.

Keseluruhannya bolehlah dikatakan kesemua cerpen yang dimuatkan merupakan koleksi cerpen terbaik dan membawa mesej yang berat.

Learning Is Fun T__T

Tuesday, 8 April 2014

Perlukah aku...?

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Facebook

Puisi ini lahir kala aku sendirian....
        dalam kesedihan....
                 dalam kesepian.....

Kala mendung mamayungi diri
Aku terkenangkan dirinya
Terasa jauh...
Hakikatnya hanya sejengkal cuma.

Ingin aku menyentuh...
Namun tangan tak sampai
Ingin aku membelai...
Namun tak mungkin kan terbelai.

Untuk apa perasaan ini
Andai dia tak mahu
Untuk apa kerinduan ini
Andai dia tak peduli.

Perlukah aku resah
Perlukah aku menunggu
Perlukah aku mengharap
Perlukah aku terus mengekori.

Mengharap kasih dia
Akan hadir untukku
Mengharap rindu dia 
Akan bertaut dengan rinduku.

Aku pasrah
Namun...
Aku tetap berharap
Rasa ini...sakit ini...
Kan terubat...saat kau dan aku bersatu.
Entah bila....
8 April 2014
Jam1657

Sekian.