Teks: As Samsudin
Foto: Drama Ayahanda dan Koleksi Peribadi
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Yeay, akhirnya novel yang ditunggu-tunggu tiba jua. Novel Ayahanda karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah telah pun selamat sampai. Pesan dari Shopee saja. Memang cepat dan terbaik.
Semenjak tahu tentang novel ini yang akan diadaptasi ke drama, awal-awal lagi As dah cari bukunya. Alhamdulillah, masih banyak stok. Buat masa sekarang memang tak sempat lagi nak baca, tapi tak apa, kita tonton drama dulu la.
Drama: Ayahanda
Arahan: Dato Ahmad Tamimi Siregar
Produksi: Zeel Production Sdn Bhd
Jumlah episod: 13
Waktu Siaran: Rabu - Sabtu 9pm
Slot Lestary TV3
PARA PELAKON
Jalil Hamid - Haji Abdullah
Fauziah Ahmad Daud - Hajah Noriah
Fikry Ibrahim - Aziz
Noorkhiriah - Halimah
Shahz Jazle - Ramli
Hairi Safwan - Ahmad
Sherry Ibrahim - Aishah
Mimi Ernida - Rahayu
Rita Nadira - Mazni
Dato Ahmad Tamimi Siregar - Lebai Kassim
Sobri Anuar - Mat Diah
SINOPSIS AYAHANDA
Drama Ayahanda adalah sebuah siri drama sebanyak 13 episod arahan Dato Ahmad Tamimi Siregar. Ia telah pun disiarkan di Slot Lestary TV3 bermula pada 10 Julai yang lalu.
Ia mengangkat tema kekeluargaan dan kasih sayang seorang ayah kepada anak-anaknya, serta kesetiaannya kepada agama.
Mengisahkan tentang Haji Abdullah, seorang Tok Imam, juru nikah dan mengajarkan kitab di surau yang berusia lebih daripada 100 tahun. Surau itu kemudian dibina semula setelah dilanda ribut yang hampir meragut nyawa Haji dan isterinya, Hajah Noriah ketika itu.
Haji Abdullah dilihat sebagai seorang imam yang degil dan mahu mempertahankan jawatan imam. Walaupun beliau sudah tidak diterima oleh masyarakat kerana kaedah pengajaran dan kitabnya yang dianggap lapuk tetapi beliau tetap melunaskan tanggungjawabnya. Hanya Hajah Noriah yang masih setia dan memberikan sokongan padu kepada suaminya.
Kemunculan seorang imam muda bernama Ustaz Hamidi yang berkelulusan dari Al Azhar, Mesir telah membuatkan Haji Abdullah merasa tercabar. Apatah lagi jumlah jemaah di masjid semakin meningkat selepas kehadirannya.
Perkongsian hidup Haji Abdullah dan Hajah Noriah dikurniakan empat orang anak iaitu Halimah, Ramli, Ahmad dan Aziz.
Halimah adalah anak sulong yang rumahnya terletak di belakang rumah Haji. Justeru menjadi harapan adik-beradiknya yang lain untuk menjenguk kedua orang tua itu. Hidup Halimah diuji dengan sikap suaminya, Mat Diah yang taksubkan pertandingan suara burung.
Anak kedua iaitu Ramli pula kerap berulang-alik menghantar isterinya, Piah ke kampung asalnya kerana emaknya sakit.
Anak ketiga Haji, Ahmad telah kematian isterinya yang pergi bersama anak ketiga mereka semasa bersalin. Walaupun Hajah Noriah dan Halimah sentiasa cuba mendapatkan isteri baharu buat Ahmad, namun Ahmad menolak dengan alasan tidak bersedia. Ahmad menyibukkan diri dengan kerja kebun sayur yang diusahakannya di kaki bukit dalam usaha mencari rezeki sampingan.
Anak bongsu Haji, Aziz pula merupakan seorang juruteknik kilang yang gemarkan dunia penulisan. Isterinya Mazni lebih mementingkan kesenangan diri dan mula mengambil kesempatan di atas kesibukan suaminya menjaga orang tuanya, anak mereka dan juga menyiapkan penulisannya.
Haji terasa hati dengan anak-anaknya yang tidak menyokong usahanya untuk kekal sebagai imam. Malah Aziz yang menjadi harapan Haji juga tidak bersetuju. Sikap degil dan ego Haji Abdullah menyebabkan dirinya dilanda sepi dan tiada siapa yang ambil peduli.
Terleraikah kesepian hati seorang ayah dan dapatkah anak-anaknya memahaminya? Dapatkah anak-anak Haji Abdullah menebus kesalahan mereka yang mengabaikan hati seorang ayah? Mengertikah mereka tentang pengorbanan seorang ayah?
Sama-sama kita tonton drama ini ya. Ohya, nanti bila dah habis baca novel ni As kongsikan reviewnya di sini.
Jumpa lagi.