Tuesday, 1 July 2014

Salam Ramadan 1435H

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini 3 Ramadan, rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan Salam Ramadan Al-Mubarak. Semoga kita semua dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Puasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum, bahkan juga daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Di bulan Ramadan ini jugalah kita dituntut untuk memperbanyakkan amalan seperti membaca Al-Quran, berterawih dan juga bersedekah. Masa yang terluang bolehlah diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membaca buku-buku agama dan sebagainya.

Di bulan puasa ini juga saya melihat cabaran bagi seorang ibu dalam melatih anak-anak kecil berpuasa. Saya sendiri ada kalanya berasa sukar dalam hal sebegini. Namun rujukan dan panduan dari ahli keluarga dan jiran tetangga amat membantu. Manakan tidak, jam baru menunjukkan pukul 10 pagi tetapi mulut mereka sudah mengeluarkan perkataan lapar. Kalau tidak ada ilmu, kemungkinan besar kita akan membiarkan mereka berbuka. Kasihan mungkin.

Justeru, saya selalu menjalankan aktiviti-aktiviti bersama mereka sewaktu di rumah. Contohnya, menyusun buku dan memasak bersama. Kadang-kala saya akan membawa mereka keluar, bukan bersiar-siar, bukan juga membeli-belah tetapi keluar menziarahi sepupu mereka. Oleh kerana asyik berbual dan bermain, mereka akan terlupa tentang puasa. : )

Penyediaan juadah berbuka adalah masa yang amat dinanti. Memasak bersama boleh mengeratkan kasih sayang. Pilihan menu juga amat penting agar si kecil kita mendapat khasiat sebaiknya selepas seharian berpuasa. Hidanglah makanan kesukaan mereka agar mereka gembira untuk terus berpuasa. Berbuka dengan buah kurma harus dijadikan amalan. Minumlah jus buah-buahan kerana ia amat baik untuk penghadaman. Namun ingatlah, walau apa pun, besederhana itu lebih baik, elakkan pembaziran.

Sahur pula jangan dilupa. Makanlah di akhir waktu kerana ia dituntut oleh agama. Saya memilih nasi sewaktu sahur untuk membekalkan tenaga secukupnya sepanjang seharian berpuasa. Minuman panas seperti Horlick dan minuman coklat pula menjadi minuman pilihan. Ada yang tidak suka mengambil nasi sewaktu sahur tetapi cukup sekadar memakan 7 biji kurma atau sekadar makan roti. Walau apa pun, semuanya terletak kepada keserasian dan pilihan masing-masing. Yang penting, kita bersahur.

                      
Okeylah, selamat menjalani ibadah puasa. Semoga puasa kita diterima-Nya. Amin.

No comments:

Post a Comment