Foto: Carian Google
[BAB 4]
“Ibu... ibu....”
Emylia memejamkan matanya. Rapat.
Emylia
meninggalkan tempat kerjanya sebaik sahaja waktu bekerja tamat. Bungkusan
hadiah Zakuan turut dibawanya, disorok di dalam beg kertas berisi baju
tebalnya. Emylia tersenyum sepanjang perjalanan. Dia merasa tidak sabar untuk
mengetahui isi bungkusan tersebut. Sebaik sahaja sampai di banglo tiga tingkat
milik ayahnya, dia terus mengunci diri di dalam bilik.
Emylia membuka
bungkusan tersebut. Kotak comel itu dibeleknya. “Hmm, comelnya kotak ni.
Jangan-jangan hadiah untuk kekasih hati. Cincin kot...“ Emylia mengomel
sendiri. “Emylia, berdosa tau apa yang kamu buat ni.” Tiba-tiba hatinya
berbisik. Pergerakan tangan Emylia terhenti. Dia termenung seketika, memberi ruang
pada akalnya untuk berfikir. “Ala, aku bukan nak curi pun. Pinjam sekejap saja.
Esok lusa aku letak balik la. Saja nak ajar sikit si Zakuan tu.” Emylia tetap
nekad dengan tindakannya.
Dia terus
membuka kotak tersebut. Hatinya terpegun melihat loket emas yang tersimpan di
dalamnya. “Cantiknya loket ni. Ukirannya unik sekali. Tak pernah pula aku
tengok ukiran sebegini di mana-mana kedai emas. Pasti rekaan sendiri. Eh, apa
pula ni?” Emylia menarik sekeping kad kecil yang terselit di dalam bungkusan
tersebut. Kad apa pula ni. Emylia menjadi semakin tertarik untuk mengetahuinya.
Eh, ada sajaklah. Emylia semakin teruja.
Ibu...
Biar seribu kepayahan mendatang
Biar sejuta ujian silih bertandang
Tiada apa yang mampu menghalang
Kau tetap menghayun langkahmu seorang
Ibu...
Dalam senyummu kau sembunyikan lelahmu
Dalam keceriaanmu kau sorokkan dukamu
Dalam tidurmu kau mimpikan azammu
Dalam langkahmu kau temukan harapan baru
Ibu...
Bukan intan permata yang kau harapkan
Bukan wang berjuta yang kau idamkan
Bukan juga mengharap namamu dijulang
Tapi kejayaan yang bakal anakmu genggam
Ibu...
Kaulah ratu syurga hatiku
Penawar segala kesedihan di kalbu
Kan kusayang dirimu selalu
Hingga ke akhir detik nafasku
Ibu...
Di hari yang penuh bermakna ini
Kupanjatkan doa setulus hati
Dengan limpahan kasih sejati
Semoga Dia sentiasa merahmati
Selamat Hari Lahir Ibu...
Kan ku ada
untukmu selalu...
Emylia
ternganga. Sajak ni... aku kenal sajak ni. Ini sajak Redza. Macamana pula sajak
Redza boleh ada dengan Zakuan? Emylia terpinga-pinga. Denyut nadinya bergerak
laju. Aduh... apa dah jadi ni. Zakuan...? Redza...? Apa kaitan antara mereka
berdua? Adik-beradik? Ish... kalau adik-beradik pun takkanlah mereka harus
berkongsi sajak yang sama. Atau... Zakuan dan Redza adalah orang yang sama?
Emylia
memicit-micit dahinya, kepalanya terasa sakit berdenyut-denyut. Akal warasnya
tidak dapat berfikir dengan betul. Dia merebahkan tubuhnya ke katil. Tiba-tiba
dia terkenangkan perbualannya dengan Redza seminggu yang lalu.
Awak buat apa tu?
Saya tengah
tulis sajak ni. Untuk ibu saya... kan tak lama lagi hari lahir dia, jadi saya
ingat nak hadiahkan sajaklah untuk dia. Mesti dia suka.
Eh, awak nak tulis sajak? Awak pandai
ke...? Nanti jadi syair pula...
Eh, awak jangan
pandang saya sebelah mata tau. Saya ni ada banyak bakat terpendam. Awak saja
yang tak tahu!
Oh, ye ke. Cuba awak baca sikit saya nak
dengar :D
Kenapa awak
ketawa? Sekejap yer... saya send kat awak. Ha... jangan nangis pulak nanti...
Eh, kenapa pula saya nak nangis? Tak
kuasalah :D
Yalah, kan sajak
saya ni terbaik. Boleh menyentuh kalbu;)
Yalah, yalah. Cepatlah hantar, tak sabar
dah ni nak nangis :D
Hantar dah... ha
macamana? Terharu tak?
Wah, tak sangka betul awak pandai tulis
sajak. Mesti awak sayang sangat kan kat ibu awak kan. Tak sabar saya nak jumpa
dia. Harap-harap dia pun boleh sayang saya macam dia sayang kat awak. Saya tahu
ibu awak mesti sayang saya.....
Awak jangan
risau ya. Saya pasti ibu saya akan menyayangi awak, mengasihi awak dengan
sepenuh hatinya, mencurahkan kasih yang awak damba-dambakan itu. Saya yakin...
awak jangan risau yer...♥
Emylia tersedar
dari khayalannya. Terasa ada air hangat meleleh di pipi. Cepat-cepat dikesat
air mata itu. Namun semakin dikesat semakin laju ia mengalir. Emylia menangis
teresak-esak. Dia teringatkan Redza, terasa amat rindu pada lelaki itu. Lelaki
yang telah berjaya menakluk hatinya dengan kasih sayangnya yang menggunung.
Biarpun mereka tidak pernah bertemu muka namun dia yakin akan ketulusan hati
lelaki itu. Redza sering bercerita tentang ibunya, sehinggakan hatinya terasa
amat dekat dengan wanita itu. Kasih sayang mereka turut meresap jauh ke lubuk
hatinya.
“Macamana kalau hadiah
ini memang untuk ibu Redza? Dan Zakuan... jangan-jangan Zakuan hanya tolong
ambilkan untuknya.” Argh, Emylia buntu. Benar-benar buntu. Pelbagai persoalan
bermain di benaknya.
“Andai betullah
hadiah ini kepunyaan Redza, pasti Redza kecewa dengan aku. Dan kalau ibunya
tahu, pasti dia tidak dapat menerimaku.” Emylia menangis teresak-esak. Dia
merasa amat sedih pabila mengenangkan kasih seorang ibu yang amat dia dambakan
akan hilang berlalu sekelip mata...tidak mungkin akan hadir untuk dirinya.
Dah siap maraton keempat-empat bab. Wah. Best ceritanya. Tak sangka As boleh tulis sajak jugak. Memang berbakat. Tahniah. Bab seterusnya pulak. Hehehe
ReplyDeleteHehe... thanks sudi baca. Belum tulis lagi sambungan kisah ni.. tetiba saja idea hilang entah ke mana ;)
Delete