Karya : As Samsudin
Pagi itu aku dikejutkan
dengan suara bising di luar. Sayup-sayup terdengar suara manusia saling
bertingkah. Rendah tinggi nadanya. “Aduh, apa pula tu?” Aku menggosok-gosok
mata yang tidak gatal. Geram rasanya bila waktu tidurku diganggu. Aku cuba
mengamati jarum jam di dinding menerusi cahaya yang masuk melalui lubang
dinding bilikku. Kulihat jam menunjukkan pukul 5:30 pagi. Aku cuba memejamkan
mata untuk tidur kembali namun aku terkejut apabila mendengar dentuman yang
keras di bahagian dapur. Aku membesarkan telinga, cuba mengamati suara yang
kedengaran.
“Apa ni mak? Mana ada
aku ambil tong gas tu. Mak jangan pandai-pandai nak tuduh saja. Selidik dulu!”
begitu keras sekali suara Angah memarahi ibu mertuaku. Aku beristighfar di dalam
hati. “Angah ni buat hal lagi rupanya. Tak serik-serik.” Aku menarik nafas
panjang. Rasa mengantukku hilang begitu sahaja. Aku terus mencapai tuala dan
melangkah keluar menuju ke bilik air.
Ketika berjalan
melintasi ruang dapur, kelihatan bayang Angah dan ibu mertuaku di luar. Aku
terus ke bilik air, malas mahu mencampuri urusan mereka. Angah, adik iparku ini
memang selalu buat hal. Lepas satu, satu. Kalau datang anginnya habis satu
rumah dihamputnya. Aku sering melihat dia bergaduh dengan ibu mertuaku, juga
adik iparku yang lain.Bukan itu sahaja, malah kami sering kehilangan
barang-barang berharga.
Angah terlibat dengan
dadah. Ya, itu berita yang kudengar daripada mulut suamiku. Sejak bila, aku pun
tak pasti. Namun dari pemerhatian aku, memang terdapat perubahan yang amat
ketara pada fizikal Angah. Dia kelihatan kurus melidi, matanya merah berair.
Walaupun kami sekeluarga tidak pernah melihat dia mengambil benda haram itu
namun, aku yakin dia terlibat. Apatah lagi dia pernah ditahan di Cameron
Highland kerana dadah tetapi senyap-senyap diikat jamin oleh ibu mertuaku.
Pernah juga aku suarakan
pada suamiku agar membawa Angah berubat namun cadanganku hanya dipandang sepi. Suamiku
memberikan alasan bahawa terlalu sukar untuk mereka memujuk Angah. Pantang
disuarakan tentang itu pasti mereka akan diherdik kembali. Akhirnya,
masing-masing membiarkan Angah dengan dunia hitamnya.
Selesai mandi, aku terus masuk ke
bilik. Perang mulut di antara Angah dan ibu mertuaku masih jua berlarutan. Aku berasa
geram melihat gelagat Angah yang langsung tidak menghormati ibunya. Tak lama
kemudian, aku terdengar deruman enjin kereta suamiku pulang dari kerja. Belum sempat suamiku masuk ke dalam rumah,
aku terdengar suara ibu mertuaku menjerit memanggil namanya.
“Along! Along!”
Aku mendengar derap
tapak kaki suamiku berlari menuju ke dapur. Keadaan menjadi bertambah bising. Suara
hiruk-pikuk bercampur dengan suara tangisan. Aku kelam-kabut keluar apabila
mendengar suara nyaring suamiku memanggil ditambah dengan suara ibu mertuaku yang
menangis.
“Ya Allah, kenapa ni
bang? Apa dah jadi ni?” Aku terus meluru ke arah ibu mertuaku yang terbaring di
atas lantai. Kulihat suamiku sedang bergelut dengan Angah. Aku semakin kaget apabila
ternampak sebilah pisau pemotong roti berada di tangan adik iparku itu. Lagaknya
yang cuba menetak suamiku menyebabkan aku menempik kasar.
“Angah, bawa mengucap
Angah. Buang pisau tu. Angah dah gila ke? Itu kan abang kau. Apa yang dah
merasuk kau ni?”
“Ah, kakak jangan nak
masuk campurlah! Nanti kakak pun kena sama!” Angah mengherdikku sambil menunjuk
pisau ke arahku.
Tiba-tiba suamiku
tergelincir lalu jatuh ke tanah. Angah mengambil peluang itu untuk menetak
leher suamiku yang terdedah. Suamiku menahan dengan sikunya. Dalam keadaan
kelam-kabut itu aku terus meluru ke arah mereka. Namun sudah terlambat bila aku
melihat tangan suamiku sudah pun berlumuran darah.
“Abang…!” Aku terus
menolak tubuh Angah dengan sekuat tenaga. Angah jatuh ke tepi. Pisau pemotong
roti terpelanting ke tanah. Suamiku dengan tangan yang berlumuran darah terus
melompat dan mengilas tangan Angah ke belakang. Aku semakin panik.
“Ika, cepat cari tali.
Cepat Ika.” Arah suamiku.
Aku berlari ke dapur. Habis
semua laci kuselongkar namun tali yang dicari tidak juga kutemu. “Tali tak ada.
Kat mana?” Aku tidak dapat menahan air mata daripada terus mengalir. Nyda, adik
iparku yang sedari tadi menyorok ketakutan di belakang pintu berlari ke
belakang rumah.
“Akak, nah tali.” Aku
pantas membawa tali kepada suamiku.
“Ikat tangan Angah ni,
cepat!” Dengan terketar-ketar aku mengikat tangan Angah sekuat yang mungkin.
Angah meronta-ronta dengan kuat. Kakinya menendang angin ke kiri dan ke kanan. Setelah
mengikat tangan, aku mengikat pula kaki Angah dengan bantuan suamiku.
Selepas itu aku berlari
masuk ke bilik, mencari kain untuk membalut luka di tangan suamiku. Patutlah
tangannya penuh dengan darah, rupa-rupanya tetakan Angah telah terkena tiga jari
tangan kanannya. Pasti ada urat yang putus, desisku.
Aku memandang tajam ke
arah Angah yang sedari tadi memerhatikan gelagat kami sambil menyumpah-nyumpah.
Entah apa yang disumpahnya aku pun tak pasti. Butir bicaranya tidak dapat
kufahami. Keadaan Angah kulihat amat teruk sekali, matanya merah menyala,
sekejap dia menunduk dan sekejap lagi dia memanggungkan kepala. Keadaannya yang
lali bagaikan berada di suatu dunia yang lain.
“Along, tangan Mak. Kenapa
dengan tangan Mak ni, Along?”
Aku menoleh ke arah ibu
mertuaku. Kelihatan dia sedang mengerang kesakitan. Mukaku terasa panas. “Tangan
Mak patah ke?” Aku tidak tahu kepada siapa soalan itu ditujukan. Kami berdua
menerpa ke arah ibu mertuaku. Dalam keadaan yang terpaksa menahan kesakitan
akbat tetakan, suamiku memeriksa tangan ibunya.
“Pergi cari kain, Ika. Buat
andung untuk tangan Mak ni. Mungkin patah semasa Mak jatuh tadi kot.” Suamiku
bergerak ke arah Angah. Dia menampar pipi Angah dengan tangan kirinya. “Ingat
Angah, kalau sampai terjadi apa-apa kat Mak, nahas kau!”
Aku hanya menurut kata
suamiku. Tangan ibu mertua kubalut dengan cermat. Mujurlah aku pernah mengambil
kursus pertolongan cemas semasa zaman persekolahan. Walaupun ingat-ingat lupa,
aku masih mampu melakukannya.
“Eh, tengok Angah tu?
Kenapa dengan dia?”
Serentak kami menoleh ke
arah Angah. Aku melihat adik iparku itu seolah-olah sesak nafas. Seperti nak
terkena sawan pun ya juga. Dadanya turun naik tidak sekata. Aku dan suamiku
berbalas pandangan.
“Cepat buka tali tu, Ika.”
Ibu mertuaku sudah pun meraung. Aku hanya membatukan diri. Teragak-agak untuk
membuka ikatan tersebut. Tiba-tiba Nyda menyampuk, “Tak payah buka Kak, Mak.
Biarkan dia. Biar mati pi.”
Aku tahu Nyda telah lama
memendam rasa dengan sikap Angah. Manakan tidak, dia pun selalu menjadi bahan
hamputan Angah.
“Dia berlakon ja tu,
Mak.” Aku pula menambah.
“Tolonglah Mak, Ika.
Tolong buka ikatan tu. Kesian kat Angah, kalau jadi apa-apa kat dia macamana?”
Rayu ibu mertuaku sambil menangis teresak-esak.
Aku berasa serba-salah
melihat keadaan ibu mertuaku. Memang betullah kata orang, ibu mana yang sanggup
melihat anaknya dalam kesusahan. Biar sejahat mana pun anak itu, seorang ibu
akan tetap membelanya.
Dengan perasaan berat,
aku membuka ikatan tangan Angah. Kakinya aku biarkan terikat. Kemudian kami
membawanya masuk ke dalam bilik dan membaringkannya di atas katil. Ibu mertuaku
duduk di sisinya sambil mengusap-usap kepala Angah. Aku segera beredar ke bilikku.
Semakin lama aku di situ semakin geram hatiku melihat ulah ibu mertuaku.
Bagiku, sayangkan anak tangan-tangankan. Jika tidak, beginilah jadinya.
Langsung tidak boleh ditegur dan dimarah, Alih-alih kita juga yang terpaksa menanggung
kesusahan akibat perangai buruk mereka.
Telefon bimbit segera kucapai.
Aku mendail nombor Zila, kawan baikku. Aku menceritakan kepadanya semua yang telah
berlaku. Zila amat terkejut dengan apa yang didengarinya. Dia menasihatkanku
agar membuat laporan di balai polis berdekatan.
“Ini kes berat, Ika. Kau
jangan nak kesiankan adik ipar kau tu. Hari ini dia tetak suami kau, esok lusa
entah-entah habis satu rumah tu ditetaknya.” Kata-kata Zila terngiang-ngiang di
telingaku. Aku mengeluh keras. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Bagiku, kata-kata
Zila tu ada benarnya. Kalau diikutkan hati yang marah, ingin sahaja aku
melaporkannya kepada pihak polis. Tapi awal-awal lagi ibu mertuaku sudah merayu
agar kami tidak membuat laporan ke atas adik iparku itu.
Aku melepaskan keluhan
panjang. Sukar untukku membuat keputusan. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Aku
mencapai kunci kereta. Enjin kereta segera kuhidupkan. Aku harus membawa suami
dan ibu mertuaku ke hospital. Luka di tangan suamiku itu tidak boleh dibiarkan
terdedah lama. Takut nanti dijangkiti kuman, lain pula jadinya.
“Apa susahnya, Ika. Kau
usung semuanya terus ke balai. Lagi senang sebab bukti semua ada. Dengan tangan
yang berdarah tu, ditambah dengan keadaan ibu mertua kau, aku yakin polis tak
akan teragak-agak menahan adik ipar kau tu.” Aku teringat saranan Zila. Betul
juga kata Zila, usung semuanya ke balai. Habis cerita.
Hampir lima belas minit
berlalu, bayang suami dan ibu mertuaku tidak juga kelihatan. “Apalah yang
dibuat kat dalam tu,” aku mengomel sendiri. Baru aku hendak masuk ke dalam rumah,
suami dan ibu mertuaku pun muncul.
“Jomlah.” Suamiku
memimpin emaknya masuk ke dalam kereta. Aku mengerutkan dahi. “Angah?” soalku.
“Biarkan dia.” Pendek sahaja jawapan suamiku.
Setibanya di Hospital
Seberang Jaya, aku membawa mereka terus ke Bahagian Kecemasan. Setelah melalui
pelbagai prosedur untuk pendaftaran, ibu mertuaku di bawa ke bilik rawatan.
Menurut kata doktor, tangannya perlu diimbas untuk mengenalpasti sekiranya ada
tulang yang patah. Suamiku masih menunggu di situ. Pihak hospital terpaksa
mengikut peraturan yang ada memandangkan luka di tangan suamiku bukan luka
biasa. Kami disoal-siasat bagaikan baru sahaja terlibat dengan kes jenayah.
Ya, aku faham bahawa
kami harus mengikut prosedur yang ditetapkan. Luka tetakan memang mengundang
seribu satu andaian. Kami telah cuba meyakinkan doktor bahawa hal ini berlaku
akibat pergaduhan adik-beradik. Dengan kata lain masalah keluarga namun doktor
seakan-akan cuba mengaitkannya dengan kes polis. Hati yang geram bertambah
geram. Dalam keadaan kecemasan begini, aku tidak mampu berfikir secara
rasional. Aku berasa marah namun tidak tahu hendak dilepaskan kepada siapa.
Kalaulah Angah ada bersamaku, pasti lunyai dia, aku kerjakan.
Darah terus mengalir
keluar. Kain yang kubalut tidak dapat menampungnya lagi. Setitis demi setitis
menitik ke lantai. Aku semakin resah. Akhirnya, doktor menggunakan kuasa budi
bicaranya untuk merawat suamiku. Hampir tiga jam menunggu, barulah semuanya
selesai.. Tepat jangkaanku, urat jarinya putus. Doktor terpaksa membelah jari
suamiku untuk mencari urat yang putus dan menyambungnya kembali.
Nasib ibu mertuaku pula tidaklah
seburuk yang kami sangka. Alhamdulillah, tangannya tidak patah tetapi cedera di
bahagian bahu dan tulang selangka. Kata doktor, sendinya terkeluar. Doktor
telah membalut tangan ibuku dengan kemas untuk mengelakkannya masuk angin.
Lepas ni bolehlah pergi urut, desisku.
Kami meninggalkan
perkarangan hospital menjelang lewat petang. Sesampai sahaja di rumah, kelibat
Angah tidak kelihatan. Pintu biliknya terkunci rapat. Mungkin dia ada di dalam,
desisku. Aku merebahkan badan ke katil, terasa amat letih sekali setelah
mengharungi detik paling cemas dalam hidupku. Aku merenung wajah suamiku yang
terlena keletihan. Mataku menjalar ke tangannya dan terhenti di situ. Melihat
tangannya yang berbalut membuatkan aku mula terfikir tentang masa hadapan.
Selama ini, suami dan
ibu mertuaku berniaga sendiri menjual pelbagai jenis makanan secara bergerak di
kawasan kilang di sekitar Prai. Dengan keadaan mereka begini, pasti punca
pendapatan kami sekeluarga akan terjejas. Manakan tidak, luka di tangan suamiku
perlukan masa untuk sembuh. Ibu mertuaku pula pasti pergerakannya terbatas. Gajiku?
Apalah yang hendak diharapkan sangat dengan gajiku yang kecil ini. Aku mengeluh
panjang, Hendak dikesalkan pun tiada gunanya. Nasi dah jadi bubur.
Aku cuba melelapkan
mata. Tiba-tiba terdengar siren kereta polis, semakin lama semakin kuat
seolah-olah menuju ke rumahku. Aku bingkas bangun lalu mengejutkan suamiku.
Kami menapak keluar. Kelihatan tiga orang anggota polis sedang berjalan menuju
ke rumah kami, bersamanya adalah Nyda dan bapa mertuaku.
Tahulah aku bahawa bapa
mertuaku telah membuat laporan polis sebaik sahaja mendengar cerita daripada
Nyda. Aku memeluk ibu mertuaku yang menangis teresak-esak. Angah kulihat hanya
diam tidak membantah bila dia dibawa pergi oleh pihak polis. Dia memandang sayu
ke arah ibunya. Aku melihat ada air mata yang mengalir di pipinya. Hatiku
terasa sebak.
Ya Allah, Kau
ampunkanlah semua dosa dia. Kau berilah rahmatMu pada dia. Kau tunjukkanlah dia
jalan yang benar, jalan yang Kau redhai. Kau keluarkanlah dia dari belenggu
dadah yang telah menggelapkan masa depannya. Aku melafazkan doa di dalam hati.
TAMAT.
Nota: Cerpen ini dihasilkan pada Julai 2014 untuk Pertandingan Menulis Cerpen AADK anjuran wecareweserve.org sempena Hari Antidadah Antarabangsa 2014. Dan cerpen ini tak berjaya menarik pilihan juri. Kawan saya kata cerita ada tapi feel tak ada. Ok, tak pa nanti kita pi cari feel dulu :)
Adios!
No comments:
Post a Comment