Tuesday, 20 October 2020

Puding Karamel Guna 4 Bahan Jer!

Teks: As Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Siapa kat sini penggemar Puding Karamel? Mesti ramai yang suka kan. Dan ramai yang pandai buat puding ni sebenarnya tapi saja la nak share resepi saya ni. Lain orang lain bahannya, lain caranya, dan lain pula kesedapannya. Cewah... Tak ada la, saja nak share kat sini untuk rujukan anak cucu nanti. Senang la diorang nak buat, terus cari kat blog ni saja. Hahaha...

Tapi, nak bagitau juga. Sebenarnya saya belajar buat Puding Karamel ni dari kawan saya, Farini. Minta resepi dari dia sebab puding dia sedap. Lama dah... Dan sampai sekarang puding ni memang menjadi puding kegemaran saya sekeluarga.

Okey, jom kita tengok resepi Puding Karamel versi Turtle Runner yang teramat la simple ni. Guna 4 bahan jer!!



Puding Karamel

Bahan-bahan:

6 biji telur
1 tin susu cair
1/4 cawan gula
1 camt esen vanila

Untuk gula perang
1/2 cawan gula

Cara-cara:

  1. Buat gula perang dulu. Masak 1/2 cawan gula sehingga kuning keperangan. Ratakan dalam loyang. Dah siap ratakan, saya masukkan dalam peti ais dulu sementara nak siapkan adunan.
  2. Untuk adunan senang saja. Masukkan semua bahan dalam satu bekas. Semuanya ya. Lepas tu kacau hingga sebati. Nak kacau guna apa tu, ikut suka kita la. Nak guna pemukul telur boleh, nak guna mixer pun boleh. Dah sebati semua, terus masukkan dalam loyang tadi.
  3. Tutup loyang tu dengan aluminium foil, Kenapa? Sebab saya tak nak air menitis atas puding saya tu. Hahaha... 
  4. Kukus atas api sederhana selama 45 minit. 
  5. Dah masak, biarkan sebentar bagi dia sejuk sikit. Lepas tu baru masukkan dalam peti ais. Sebelum hidang jangan lupa terbalikkan dulu. 
Tara... dah siap Puding Karamel yang enak.


Tips:
  1. Masa buat gula perang ni kena sabar banyak ya, api kena perlahan sebab kalau api kuat, gula belum cair sepenuhnya tapi dah hangit. Kalau hangit memang tak sedap la. Saya suka tunggu sampai gula tu bertukar warna sampai perang. Kalau biar pelan-pelan dia perang, memang akan terasa pahit sikit. Tapi pahit yang enak. Haha...
  2. Dah siap gula perang, cepat-cepat ratakan dalam loyang. Kena cepat tau, sebab gula ni cepat beku. Nanti kalau dah beku tak boleh nak ratakan dah. Terus spoil puding kita tu nanti. 
  3. Pengukus kena panaskan awal ya. Selalunya, saya panaskan pengukus dulu sementara nak buat gula hangus dan adunan. Panaskan siap-siap. 
  4. Masa sejukkan dalam peti ais tu, saya masukkan jer loyang tu terus sekali dengan aluminium foil tu. Kiranya saya belum terbalikkan dalam pinggan la. Biar sejuk dulu. Masa nak hidang nanti baru saya terbalikkan.
  5. Untuk adunan tu, saya masukkan suku cawan gula saja. Manis-manis buah gitu. Jangan tambah gula tau, nak kurangkan lagi sikit tak apa. Sebab nanti bila dah bercampur dengan gula perang, cukup elok manisnya.
  6. Adunan ni sesuai untuk loyang saiz 20cm. Cukup elok tebal dia. Kalau nak guna loyang saiz besar, gandakan saja bahannya.
Okey, selamat mencuba.

Jumpa lagi.