Wednesday 30 July 2014

Eid Mubarak Syawal 1435H

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin
Salam Eid Mubarak Minal Aidin Wal Faizin
Salam Lebaran
Selamat beraya...○♥○

Seronok tak beraya? Mesti seronok kan. Setelah sebulan berpuasa kita meraikan kemenangan dengan penuh kesyukuran. Hari raya hari untuk kita berkumpul bersama keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai. Bermaaf-maafan sesama kita sambil menikmati juadah yang tersedia.

Raya kali ini, kemeriahan tetap terasa walau tanpa bonda di sisi. Semua ahli keluarga berkumpul di rumah ayah. Bergotong-royong masak rendang di dapur, riuh-rendah suara si kecil di ruang tamu. Keriangan usah dikata.



Ketupat dan rendang juadah hari raya,
Kuih-muih jangan dilupa,
Salam lebaran pada semua,
Bermaaf-maafan sesama kita.


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN ♥○♥

Monday 21 July 2014

Air Asam Istimewa Titi Serong, Parit Buntar

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Koleksi Peribadi


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini saya ingin berkongsi resepi istimewa yang amat terkenal di tempat kelahiran saya iaitu Titi Serong Parit Buntar Perak. Sememangnya Air Asam ini begitu istimewa. Tapi kami tak panggil air asam tapi ayaq asam. Hehe...

Ayaq asam ni memang best tau. Lain daripada yang lain dan hanya boleh didapati di Parit Buntaq saja. Sapa yang dok sana memang tau la. Kalau pi kenduri kat Parit Buntaq mesti ada ayaq asam ni. Kalau tak dak tu memang bukan Parit Buntaq la.

Ayaq asam ni best untuk cicah ayam masak merah, daging masak hitam, daging masak kurma, daging bakar, ikan bakar dan macam-macam lah. Memang sempoilah...

Okey, jom kita pakat-pakat cuba buat ^_^

Bahan:
  1. Bawang besar, cili merah, buah tomato, air asam jawa, belacan, kerisik, sos tomato, garam, kicap cair.
  2. Sesiapa yang suka pedas boleh tambah cili padi dan sos cili.
Cara:
  1. Satukan air asam jawa, belacan, kerisik, sos tomato, garam dan kicap cair. Kacau hingga rata dan sebati.
  2. Masukkan bawang besar, buah tomato dan cili merah yang telah dihiris nipis.
  3. Gaul sebati dan sedia untuk dihidang.


Selamat Mencuba ^_^

Wednesday 16 July 2014

Kasih Yang Kudamba - Bab 4

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google




[BAB 4]


Emylia meninggalkan tempat kerjanya sebaik sahaja waktu bekerja tamat. Bungkusan hadiah Zakuan turut dibawanya, disorok di dalam beg kertas berisi baju tebalnya. Emylia tersenyum sepanjang perjalanan. Dia merasa tidak sabar untuk mengetahui isi bungkusan tersebut. Sebaik sahaja sampai di banglo tiga tingkat milik ayahnya, dia terus mengunci diri di dalam bilik.

Emylia membuka bungkusan tersebut. Kotak comel itu dibeleknya. “Hmm, comelnya kotak ni. Jangan-jangan hadiah untuk kekasih hati. Cincin kot...“ Emylia mengomel sendiri. “Emylia, berdosa tau apa yang kamu buat ni.” Tiba-tiba hatinya berbisik. Pergerakan tangan Emylia terhenti. Dia termenung seketika, memberi ruang pada akalnya untuk berfikir. “Ala, aku bukan nak curi pun. Pinjam sekejap saja. Esok lusa aku letak balik la. Saja nak ajar sikit si Zakuan tu.” Emylia tetap nekad dengan tindakannya.

Dia terus membuka kotak tersebut. Hatinya terpegun melihat loket emas yang tersimpan di dalamnya. “Cantiknya loket ni. Ukirannya unik sekali. Tak pernah pula aku tengok ukiran sebegini di mana-mana kedai emas. Pasti rekaan sendiri. Eh, apa pula ni?” Emylia menarik sekeping kad kecil yang terselit di dalam bungkusan tersebut. Kad apa pula ni. Emylia menjadi semakin tertarik untuk mengetahuinya. Eh, ada sajaklah. Emylia semakin teruja.

Ibu...
Biar seribu kepayahan mendatang
Biar sejuta ujian silih bertandang
Tiada apa yang mampu menghalang
Kau tetap menghayun langkahmu seorang

Ibu...
Dalam senyummu kau sembunyikan lelahmu
Dalam keceriaanmu kau sorokkan dukamu
Dalam tidurmu kau mimpikan azammu
Dalam langkahmu kau temukan harapan baru

Ibu...
Bukan intan permata yang kau harapkan
Bukan wang berjuta yang kau idamkan
Bukan juga mengharap namamu dijulang
Tapi kejayaan yang bakal anakmu genggam

Ibu...
Kaulah ratu syurga hatiku
Penawar segala kesedihan di kalbu
Kan kusayang dirimu selalu
Hingga ke akhir detik nafasku

Ibu...
Di hari yang penuh bermakna ini
Kupanjatkan doa setulus hati
Dengan limpahan kasih sejati
Semoga Dia sentiasa merahmati

Selamat Hari Lahir Ibu...
Kan ku ada untukmu selalu...

Emylia ternganga. Sajak ni... aku kenal sajak ni. Ini sajak Redza. Macamana pula sajak Redza boleh ada dengan Zakuan? Emylia terpinga-pinga. Denyut nadinya bergerak laju. Aduh... apa dah jadi ni. Zakuan...? Redza...? Apa kaitan antara mereka berdua? Adik-beradik? Ish... kalau adik-beradik pun takkanlah mereka harus berkongsi sajak yang sama. Atau... Zakuan dan Redza adalah orang yang sama?

Emylia memicit-micit dahinya, kepalanya terasa sakit berdenyut-denyut. Akal warasnya tidak dapat berfikir dengan betul. Dia merebahkan tubuhnya ke katil. Tiba-tiba dia terkenangkan perbualannya dengan Redza seminggu yang lalu.

Awak buat apa tu?

Saya tengah tulis sajak ni. Untuk ibu saya... kan tak lama lagi hari lahir dia, jadi saya ingat nak hadiahkan sajaklah untuk dia. Mesti dia suka.

Eh, awak nak tulis sajak? Awak pandai ke...? Nanti jadi syair pula...

Eh, awak jangan pandang saya sebelah mata tau. Saya ni ada banyak bakat terpendam. Awak saja yang tak tahu!

Oh, ye ke. Cuba awak baca sikit saya nak dengar :D

Kenapa awak ketawa? Sekejap yer... saya send kat awak. Ha... jangan nangis pulak nanti...

Eh, kenapa pula saya nak nangis? Tak kuasalah :D

Yalah, kan sajak saya ni terbaik. Boleh menyentuh kalbu;)

Yalah, yalah. Cepatlah hantar, tak sabar dah ni nak nangis :D

Hantar dah... ha macamana? Terharu tak?

Wah, tak sangka betul awak pandai tulis sajak. Mesti awak sayang sangat kan kat ibu awak kan. Tak sabar saya nak jumpa dia. Harap-harap dia pun boleh sayang saya macam dia sayang kat awak. Saya tahu ibu awak mesti sayang saya.....

Awak jangan risau ya. Saya pasti ibu saya akan menyayangi awak, mengasihi awak dengan sepenuh hatinya, mencurahkan kasih yang awak damba-dambakan itu. Saya yakin... awak jangan risau yer...

Emylia tersedar dari khayalannya. Terasa ada air hangat meleleh di pipi. Cepat-cepat dikesat air mata itu. Namun semakin dikesat semakin laju ia mengalir. Emylia menangis teresak-esak. Dia teringatkan Redza, terasa amat rindu pada lelaki itu. Lelaki yang telah berjaya menakluk hatinya dengan kasih sayangnya yang menggunung. Biarpun mereka tidak pernah bertemu muka namun dia yakin akan ketulusan hati lelaki itu. Redza sering bercerita tentang ibunya, sehinggakan hatinya terasa amat dekat dengan wanita itu. Kasih sayang mereka turut meresap jauh ke lubuk hatinya.  

“Macamana kalau hadiah ini memang untuk ibu Redza? Dan Zakuan... jangan-jangan Zakuan hanya tolong ambilkan untuknya.” Argh, Emylia buntu. Benar-benar buntu. Pelbagai persoalan bermain di benaknya.

“Andai betullah hadiah ini kepunyaan Redza, pasti Redza kecewa dengan aku. Dan kalau ibunya tahu, pasti dia tidak dapat menerimaku.” Emylia menangis teresak-esak. Dia merasa amat sedih pabila mengenangkan kasih seorang ibu yang amat dia dambakan akan hilang berlalu sekelip mata...tidak mungkin akan hadir untuk dirinya.

“Ibu... ibu....” Emylia memejamkan matanya. Rapat.

Tuesday 8 July 2014

Ola Bola Piala Dunia Brasil 2014

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Wow, kehangatan Piala Dunia amat terasa. Bahangnya di mana-mana lebih-lebih lagi pagi esok akan berlangsung pertembungan di antara dua kuasa besar. Eh, ye ke kuasa besar? Tak kisahlah kan. Yang pasti malam ini ramai yang akan bersidang, termasuk saya kot :)

Sebenarnya, saya bukan saja-saja nak tulis entri pasal Piala Dunia ni tapi memandangkan ramai yang pelik bin hairan bila saya seakan-akan menyepi daripada kepoh pasal bola. Ya, betul saya minat bola tapi memandangkan Piala Dunia kali ini jatuh pada bulan puasa, jadi saya tak berpeluang nak tengok. Tidur lebih baik... hehe... baik punya alasan. Maklumlah, nak kena bangun awal. 4:30am saya dah bangun tau jadi saya kena tidur secukupnya. Baru awet muda. Ahaks.

Kalau dulu masa tinggal dengan my brother, selalu jugalah tengok Piala Dunia. Maklumlah, ada kawan tapi sekarang ni saya sorang jer yang minat bola. So takde orang teman, tak yah tengoklah. Tak kisah pun.... Walaupun begitu, saya tetap mengikuti perkembangan semua team. Bila ada game jer mesti esoknya sibuk nak tahu sape yang menang.

Tapi... bukan saya tak tengok langsung tau. Kadang-kadang kalau saya terjaga saya belasah jer tengok. Especially masa nak masuk second round dan juga pusingan kalah mati. Hujung-hujung tengok baru best.... baru adventure sikit. Lepas tu mesti terbabas sahur. Huhuhu...

Pastu kan ada lak yang sibuk-sibuk tanya saya sokong team mana. Ha, ni yang best ni nak habaq. Dulu.... saya sokong team Brazil. Saya minat sungguh ngan Ronaldo dan Ronaldinho... depa dua terror ooo.... Memang la depa dua tak hensem macam Cristiano Ronaldo yang korang suka sangat tu. Tapi gigi kapak Ronaldo tu mahal tau. Haha.... Ronaldinho pula memang la dia hitam tapi saya suka rambut dia tau.... Ha..kerinting macam tu lain daripada yang lain tau. Eh, melalut la pulak...Ooppsss!!

Okey... okey... sabar.... Nak habaq la ni. Jeng jeng jeng... dengan ini saya mengumumkan bahawa hari raya puasa... eh silap... nak bagi tau la ni. Saya sebenarnya sokong....
l
l
l
l
l
 V 

Ha... nampak tu. Germany hokeh. G.E.R.M.A.N.Y. So jangan main-main tau.... Tapi yang bestnya game kul 4pagi esok, BRAZIL vs GERMANY aka IRDINA vs AS. Sebabnya, my Irdi sokong Brazil. Ala....Neymar la sangat kan... Neymar dah tergolek dah tu.... mna ada Neymar lagi. Hehehe.... Bape scoreline? Hmmm.... player suma dahsyat-dahsyat so memang susah nak score banyak-banyak. Yang pasti malam ni Germany mesti menang. 1-0 hokeh ^_^

Tapi kan... katakanlah Brazil vs Belanda dan Germany vs Argentina... sure saya akan sokong Brazil & Germany. Tapi nak buat macamana kan... dah depa dua bertembung malam ni. So tetap setia kat Germany. Belanda dan Argentina tu tak kisahlah sapa yang menang. Tapi rasa-rasanya Argentina kot...eh Belanda kot... Hmm... tak kisahlah.

Kalau Germany kalah? Waa... tak pelah... dah kalah kan... nak wat cane kan... hahaha~ Walau apa pun, kita enjoy ini kalilah. 

O.L.A B.O.L.A

Friday 4 July 2014

Selera Ramadan Ayah Tersayang

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini sebenarnya tak ada apa-apa yang nak ditulis cuma hati ni terasa meronta-ronta. Tak sabar nak balik berbuka puasa dengan ayah kesayangan. Saja nak cerita la, ayah saya kalau waktu berbuka suka makan kanji. Kalau dalam bahasa yang mudah difahami, kanji ni ialah bubur lambuk. Bukan masak sendiri tapi ambil dari masjid atau surau. Percuma sahaja.


Kalau kuih-muih, dia suka makan buah melaka dan tepung talam. Buah melaka selalunya orang buat kaler hijau tapi kalau tak ada daun pandan saya buat macam tu saja. Kaler putih tepung tu. Itu pun dia okey saja. Tepung talam kalau nak beli kena cari yang lembik sikit. Kalau keras tak sedap. Ayah saya kata kalau nak tahu tepung talam tu sedap ke tidak, lembut elok atau keras ke, kena sengetkan talam tu dulu. Kalau tepung talam tu bergerak sikit maknanya sedap la. Kalau tak bergerak tu maknanya keras. Kelakar la pulak petua ayah saya ni.



Kalau bab air pula, ayah saya memang pantang kalau minum ais waktu berbuka. Katanya, kalau minum ais nanti esok puasa mesti tak larat. Kena minum air panas. Ayah saya juga suka makan cendol waktu berbuka. Beli cendol kosong kemudian bancuh sendiri. Air gula dan santan semua buat sendiri. Sedap kan.


Kalau lauk-pauk tu dia tak kisah sangat. Masak la apa pun. Semua dia makan. Macam anak dia jugalah, jenis tak kisah. Tapi tak boleh masak banyak-banyak. Nanti kalau tak habis, membazir, dia marah tau.

Okeylah, selamat berbuka.

Thursday 3 July 2014

Kasih Yang Kudamba - Bab 3

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google




[BAB 3]

Zakuan menarik nafas lega. Pembentangan laporan prestasi syarikat berjalan lancar. Tan Sri Hamley dan semua ahli lembaga pengarah memuji-muji kewibawaannya. Zakuan tersenyum senang. Matanya melilau mencari kelibat Emylia. Dia ingin berterima kasih kepada Emylia. Laporan yang disediakannya amat kemas dan terperinci. Padat dan tepat. Benar-benar di luar jangkaannya.

Zakuan melihat cube Emylia kosong tidak berpenghuni. Mejanya kemas dan teratur. “Dia cuti ke hari ni?” Zakuan hairan. Dia kembali menapak ke biliknya. Interkom ditekan. Suara lembut Azrin menerjah gegendang telinganya. “Emylia tak masuk kerja hari ini?” Zakuan terus menyoal. “Dia ambil cuti kecemasan setengah hari. Petang baru dia masuk. Encik Zakuan nak pesan apa-apa?” Azrin dedikasi dengan tugasnya . “Oh, tak apa Azrin. Terima kasih.”

Zakuan menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Dia merasa nyaman. Tiba-tiba matanya terpandangkan cahaya berkelip-kelip di skrin komputernya, isyarat dari Yahoo Messenger, menandakan ada mesej yang belum dibaca. Tangannya pantas menekan butang open. “Hanna!” Sebaris nama terpacul dari bibirnya. “Dihantar 10 minit yang lalu.” Zakuan menepuk dahi. Hanna menghantar mesej ketika dia sibuk mencari Emylia. Zakuan menaip sesuatu lalu menekan butang reply. Dia sabar menunggu, mengharap status Hanna akan bertukar menjadi online. Namun hampir 15 minit berlalu, Hanna tetap sepi.

Dengan hampa, dia menutup skrin komputer.Perutnya sudah mula berkeroncong lagu Justin Bieber. Telefon bimbitnya dicapai. Dia berkira-kira untuk makan tengahari di Restoran Inai yang terletak berhadapan dengan bangunan pejabatnya. Pasti hari ini ada Asam Pedas Ikan Pari. Zakuan tersenyum, memikirkan sahaja sudah cukup membuatkannya terliur. Langkahnya dipercepat.

“Assalamualaikum Zakuan. Awal kamu hari ini.” Puan Suraya pemilik Restoran Inai menyapanya. Wanita pertengahan abad yang ayu berbaju kurung pahang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Hubungan mereka amat rapat, persis ibu dan anak. Manakan tidak, boleh dikatakan hampir setiap hari Zakuan menikmati makan tengaharinya di situ. Masakan Puan Suraya amat menepati seleranya. Sesedap masakan ibunya.

“Waalaikumsalam. Macamana tak awal Umi. Bau asam pedas Umi sampai kat atas tu.” Balas Zakuan sambil memuncungkan mulutnya. Puan Suraya tergelak kecil. “Ada-ada ajelah kamu ni Zakuan. Ha, tu dia asam pedas kesukaan kamu tu. Kamu makanlah dulu. Umi ada kerja nak buat ni.” Zakuan menghantar Puan Suraya dengan senyuman mesra.

Sedang asyik menikmati hidangan tengahari, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Azrin di wall i-phone miliknya. “Yes Azrin. Anything?” Zakuan menghentikan suapannya. “Maafkan saya mengganggu. Ada barang untuk Encik Zakuan dari Flower Jewellery. Katanya, barang ini perlu diterima oleh Encik Zakuan sendiri.” Zakuan berfikir sejenak, cuba mengingati kembali kalau-kalau dia ada memesan sesuatu. “Oh ya Azrin, biar saya bercakap dengannya.” Pinta Zakuan setelah mindanya mengimbas sesuatu.

Setelah memberi kebenaran kepada Azrin untuk menerima bagi pihaknya, Zakuan pantas menghabiskan hidangan tengaharinya. Dia tersenyum sendiri mengenangkan hadiah yang telah ditempah khas buat ibunya sempena hari lahir yang ke lima puluh lima. Esok adalah hari lahir Puan Zakiah. Dia telah berpakat dengan adiknya untuk mengadakan satu majlis buat ibu mereka. Pastinya hadiah itu akan menjadi kejutan yang amat bermakna. Zakuan tersenyum bahagia. Tak sabar untuk melihat reaksi ibunya esok.

Usai makan tengahari, Zakuan terus menuju ke pejabatnya. Dia tercari-cari bungkusan hadiah ibunya di atas meja Azrin namun hampa. Dia menapak ke biliknya dan melihat ada sebuah bungkusan di situ. “Pasti itu hadiahnya,” desis Zakuan. Zakuan lantas membuka kotak tersebut. Demi terpandangkan sahaja kilauannya yang memukau mata, dia tersenyum kecil. Sedang dia cuba untuk menyimpan bungkusan tersebut ke dalam beg, pintu biliknya diketuk. Terjengul kepala Azrin menghentikan gerak tangannya. “Dah lewat sepuluh minit untuk mesyuarat ni, semua orang dah tunggu.” Zakuan pantas melihat jamnya. “Alamak, saya langsung tak sedar.” Zakuan meletakkan kembali bungkusan hadiah tersebut di atas meja. Dia mencapai diari dan bergegas mengekori Azrin.

Ketika itu juga, Emylia berjalan lenggang-lenggok memasuki ruang pejabatnya. Ketika melintasi bilik Zakuan, hatinya bagaikan terpanggil untuk mengintai bilik ketuanya itu. Sedang dia mengintai-intai, tiba-tiba matanya tertancap pada bungkusan beg kecil yang indah dihiasi reben yang terletak di hujung meja Zakuan. Hadiah apa pula tu? Perasaan ingin tahu membuak-buak di dalam dadanya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, setelah memastikan tidak ada sesiapa yang melihatnya, Emylia pantas menyelinap ke dalam bilik sederhana besar itu.

Beg kecil itu dibuka,. Dilihatnya sebuah kotak comel dihiasi reben merah. Emylia tersenyum sumbing. Akal jahatnya menguasai minda. “Ya, inilah masanya yang aku tunggu-tunggu, saat untuk membalas dendam. Padan muka kau Zakuan. Pasti hadiah ini untuk orang yang begitu istimewa. Nasib kaulah, kan aku dah kata, ada ubi ada batas hari ini aku pasti balas.” Emylia tersengih gembira.


BERSAMBUNG.

Wednesday 2 July 2014

Doa Selepas Membaca Al-Quran

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sempena Ramadan yang mulia ini, saya percaya ramai di antara kita yang membaca Al-Quran sama ada selepas solat fardhu mahu pun setiap kali ada waktu terluang. Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua, doa selepas membaca Al-Quran. Semoga kita semua dapat mengamalkannya.


Salam Ramadan.

Tuesday 1 July 2014

Salam Ramadan 1435H

Teks: Masitah Samsudin
Foto: Carian Google


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini 3 Ramadan, rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan Salam Ramadan Al-Mubarak. Semoga kita semua dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Puasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum, bahkan juga daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Di bulan Ramadan ini jugalah kita dituntut untuk memperbanyakkan amalan seperti membaca Al-Quran, berterawih dan juga bersedekah. Masa yang terluang bolehlah diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membaca buku-buku agama dan sebagainya.

Di bulan puasa ini juga saya melihat cabaran bagi seorang ibu dalam melatih anak-anak kecil berpuasa. Saya sendiri ada kalanya berasa sukar dalam hal sebegini. Namun rujukan dan panduan dari ahli keluarga dan jiran tetangga amat membantu. Manakan tidak, jam baru menunjukkan pukul 10 pagi tetapi mulut mereka sudah mengeluarkan perkataan lapar. Kalau tidak ada ilmu, kemungkinan besar kita akan membiarkan mereka berbuka. Kasihan mungkin.

Justeru, saya selalu menjalankan aktiviti-aktiviti bersama mereka sewaktu di rumah. Contohnya, menyusun buku dan memasak bersama. Kadang-kala saya akan membawa mereka keluar, bukan bersiar-siar, bukan juga membeli-belah tetapi keluar menziarahi sepupu mereka. Oleh kerana asyik berbual dan bermain, mereka akan terlupa tentang puasa. : )

Penyediaan juadah berbuka adalah masa yang amat dinanti. Memasak bersama boleh mengeratkan kasih sayang. Pilihan menu juga amat penting agar si kecil kita mendapat khasiat sebaiknya selepas seharian berpuasa. Hidanglah makanan kesukaan mereka agar mereka gembira untuk terus berpuasa. Berbuka dengan buah kurma harus dijadikan amalan. Minumlah jus buah-buahan kerana ia amat baik untuk penghadaman. Namun ingatlah, walau apa pun, besederhana itu lebih baik, elakkan pembaziran.

Sahur pula jangan dilupa. Makanlah di akhir waktu kerana ia dituntut oleh agama. Saya memilih nasi sewaktu sahur untuk membekalkan tenaga secukupnya sepanjang seharian berpuasa. Minuman panas seperti Horlick dan minuman coklat pula menjadi minuman pilihan. Ada yang tidak suka mengambil nasi sewaktu sahur tetapi cukup sekadar memakan 7 biji kurma atau sekadar makan roti. Walau apa pun, semuanya terletak kepada keserasian dan pilihan masing-masing. Yang penting, kita bersahur.

                      
Okeylah, selamat menjalani ibadah puasa. Semoga puasa kita diterima-Nya. Amin.